Halaman

08 January 2012

Terengganu yakin dengan kesebelasan utama

Oleh: Suriati Ali

Naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu sudah ada bayangan barisan pemain yang bakal diturunkan bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan itu yang juga Pengerusi Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, berkata bayangan kesebelasan pemain utama itu sudah dipilih selepas mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Lembah Klang, Kelantan dan Perlis baru-baru ini.

“Pemain termasuk dua pemain import juga turut menunjukkan persefahaman yang baik antara satu sama lain dan dapat memenuhi kehendak jurulatih.

“Kehadiran bekas pemain Harimau Muda A.Mohamad Muslim Ahmad, Abdul Syukor Jusoh dan Mohamad Zubir Mohd Amin akan mampu menguatkan kesebelasan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pasukan T-Team diberi jaminan akan terus dikekalkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia sekiranya memberikan persembahan terbaik.

Jaminan itu diberikan Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mahukan pasukan kelab tersebut terus mengekalkan prestasi baik mereka musim ini.

"Tahun lepas saya telah beri amaran akan membubarkan pasukan ini tetapi nampaknya mereka telah melepasi halangan dan berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia," katanya.

Kerajaan negeri melabur sebanyak RM3 juta setahun kepada pasukan itu bagi menghadapi Liga Malaysia.

Dato' Seri Ahmad berkata kehebatan pasukan T-Team adalah setanding malah lebih baik daripada sesetengah pasukan negeri.

Sementara itu jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata pasukannya telah bersiap sedia bagi mengharungi perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa depan.