Seperti institusi pengajian lain, Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu, di Binjai, Kemaman juga tidak ketinggalan memasak bubur asyura sempena Maal Hijrah.
Seluruh warga INSPI amat berbesar hati dengan penduduk Kampung Pengkalan Binjai kerana sudi menyertai mereka memasak bubur asyura secara bergotong-royong sejak dari awal pagi kelmarin.
Menurut Pengetua INSPI, Ustaz Firdaus Khairi Abdul Kadir, kira-kira RM2,500 duit tabung telah diperuntukkan untuk memasak empat kawah bubur asyura yang bertempat di pekarangan letak kereta pusat pengajian tersebut.
Lebih menarik lagi selepas acara memasak bubur asyura, setiap penyertaan akan mendapat satu nombor cabutan bertuah yang memenangi hadiah hamper sumbangan dari pejabat Parlimen Kemaman.
“Kami juga amat berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar kerana sudi meluangkan masa bersama kami memasak bubur asyura dan menyumbangkan peruntukan makan tengah hari,” katanya.
Katanya, program itu diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar-pelajar INSPI dengan penduduk setempat di samping dapat membina sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
Kerja-kerja pembinaan gelanggang baru futsal sedang giat dijalankan.
Tambah beliau lagi, gelanggang baru futsal di pusat pengajian itu masih dalam proses pembinaan dan akan siap dibina penghujung Januari ini. Projek tersebut terpaksa di tangguhkan pada hujung tahun lepas memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.