Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkenalkan program ‘teman pili bomba’ dalam usaha melibatkan anggota masyarakat mengekang kejadian vandalisme di negeri ini.
“Program teman pili bomba ini penting kerana berperanan menjaga pili bomba sentiasa berkedaan baik serta berfungsi pada bila-bila masa,” kata Pengarah JBPM Terengganu, Encik Md. Salleh Sarbini.
Katanya, di negeri ini terdapat 19,120 pili bomba yang memerlukan perhatian dan penjagaan bukan sahaja daripada pihak bomba tetapi juga orang ramai.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu (2011) terdapat 238 pili bomba menjadi mangsa vandalisme dan 95 lagi melibatkan kerosakan pada penutup pili.
“Kejadian ini amat merisaukan pihak kami kerana ia boleh memberi impak besar terutama bila berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Katanya, teman pili bomba berperanan memastikan keselamatan pili oleh sebarang objek seperti pasir, kayu, besi atau lain-lain halangan bagi melancarkan operasi jika keadaan memerlukan.
Selain itu katanya, mereka juga menjadi mata kepada pihak jabatan untuk melaporkan jika terdapat kenderaan yang diletakkan ditepi pili dan memastikan kerja-kerja membaiki jalan atau menurap tidak menutup lubang ‘hydrant pit’.
Tambahnya, pihaknya sentiasa membuat rondaan untuk memastikan pili-pili sedia ada sentiasa berfungsi dan berada pada tahap ‘optinal’ serta berusaha menukar pili yang using, rosak dan tertimbus.
“Pemeriksaan ke atas alat pencegahan di semua bangunan dan projek perumahan kerajaan di adakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua alat pencegahan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan,” katanya.