Halaman

12 January 2012

Reaksi MB kemelut PBSNT- FAM

Reaksi peminat bola sepak nombor satu negeri, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika membuat sidang media mengenai kemelut PBSNT-FAM. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Polemik yang melanda antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung surat pekeliling mendapat reaksi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang ternyata kecewa dengan kemelut itu.

Dalam nada tegas, Menteri Besar mahu menyaman FAM dan meminta ganti rugi serta mempertimbangkan dua pasukan dari negeri ini, Terengganu dan T-Team supaya menarik diri daripada Liga Malaysia berikutan keputusan badan induk sukan bola sepak itu yang tidak membenarkan Terengganu menurunkan dua pemain import dalam Liga Malaysia.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pasukan Terengganu sudah menggajikan dua pemain import berkenaan tetapi disebabkan karenah birokrasi dan pertukaran syarat kelayakan pada saat akhir melalui surat pekeliling oleh FAM yang menyatakan kedua-dua pemain berkenaan tidak dapat diturunkan untuk bermain dalam Liga Malaysia, sebaliknya hanya layak diturunkan dalam Liga AFC.

“Saya mewakili kerajaan negeri yang memberi peruntukan kepada pasukan bola sepak negeri dan kami sudah berbincang dengan peguam berkaitan isu ini melibatkan tiga pilihan.

“Kita nak ingatkan FAM, mesti bersikap profesional, kalau mereka salah bukan dengan hanya mengakui kesalahan yang dibuat itu sahaja kerana kita menanggung kerugian berikutan kita yang menandatangani kontrak pemain. Kita ada tiga pilihan sebab kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan Terengganu,"kata beliau sejurus mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, pilihan pertama, FAM membenarkan dua pemain import yang sudah berdaftar dengan PBSNT itu bermain engan Terengganu dalam Liga M.

“Pilihan (syarat) kedua, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang kepada FAM berasaskan surat pekeliling ini. Ketiga, FAM hendaklah membayar ganti rugi kepada kita,” katanya.

Pada masa yang sama, sekiranya FAM gagal mematuhi syarat berkenaan, Terengganu bersedia untuk menarik penyertaan kedua-dua pasukan negeri ini daripada menyertai Liga M.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut melihat sendiri kandungan surat bertarikh 23 Disember itu juga menjelaskan akan menunggu reaksi FAM sebaik kenyataan beliau ini dibuat memandangkan kerajaan negeri sudah memanjangkan isu itu kepada peguam bagi menuntut hak PBSNT.

Sebelum itu, menerusi surat pekeliling berkenaan dengan jelas memaklumkan Terengganu boleh mendaftar pemain import untuk beraksi dalam Liga Malaysia sebelum 9 Januari dan langsung tidak menyebut satupun perkara berkaitan Piala AFC.

Menurutnya, walaupun Terengganu boleh memohon untuk kali kedua pada April ini,kerajaan negeri menolak untuk berbuat demikian berikutan perlu menanggung kos yang tinggi bagi membiayai kedua-dua pemain itu.

“Permohonan baru (menggunakan pemain import)pada April nanti, jadi adakah kita hendak bayar pemain sedangkan mereka tidak beraksi selama tiga bulan.

“Kita saman bukan ada kepentingan dan atas dasar mahu keuntungan pun, kerana sealam ini kerajaan negeri yang berbelanja untuk PBSNT,”katanya.

Sebelum itu, kontroversi melibatkan PBSNT dan FAM tercetus ekoran Terengganu yang menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling FAM kepada PBSNT bertarikh 23 Disember itu.

Bagaimanapun, FAM mengesahkan PBSNT tidak sah menggunakan khidmat dua pemain import itu pada awal musim ini memandangkan surat pekeliling itu hanya merujuk kepada kempen Piala AFC dan bukannya Liga Malaysia.