Halaman

13 January 2012

PFK perkasa ekonomi, galak penyertaan usahawan

Menteri Besar begitu teruja melihat hasil usahawan yang berwibawa dan berdaya maju. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) melaksanakan pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) bagi memperkasakan ekonomi dan mengalakkan pembabitan rakyat negeri ini dalam bidang itu.

Program PFK termasuk merancang dan menambah pembukaan T’Shoppe, T’Kafe, T’Crafts dan T’Lodge yang dijangka mampu memberi pulangan berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program T-Brand.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha dan pencapaian itu amat memberangsangkan dan terkehadapan berbanding negeri lain di negara ini serta melahirkan golongan usahawan yang berwibawa dan berdaya maju.

Katanya, program PFK itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Terengganu Maju 2020 dengan memperkenalkan empat tonggak, iaitu Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Hala Tuju Negeri Terengganu.

“Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009 - 2013 merupakan visi Kerajaan Terengganu bagi mencapai Negeri Maju Tahun 2020 dengan misi merancang dan melaksanakan pembangunan negeri yang menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat dengan berteraskan agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’, " katanya di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Menteri Besar berkata, program transformasi ekonomi merupakan agenda yang amat penting dalam pembangunan Terengganu keseluruhannya.

Malah, pelbagai program dirancang bagi mencapai Negeri Maju 2020 termasuk program mega seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur , projek Zon Industri Akuakultur, projek jelapang padi dan Empangan Paya Peda.