Halaman

08 January 2012

Manfaat latihan demi kerjaya masa depan- pelatih

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya mahu memanfaatkan latihan diberikan TDMP (Sdn Bhd) ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan suatu masa nanti saya boleh menjadi pengurus ladang dan meningkatkan taraf hidup keluarga,” kata Mohd Aswadi Razak, 27, dari Ladang Jaya Sungai Tong, Setiu, selepas menerima sijil latihan dan surat tawaran mengikuti Program Latihan Pegawai Luar anjuran TDM Plantation Sdn Bhd, di Hotel Primula Beach, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mohd Aswadi antara 20 pelatih yang terpilih mengikuti program itu berkata, dia memohon untuk mengikuti latihan tersebut kerana mahu memastikan suatu masa nanti mampu mendapat pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.
Selain Mohd Aswadi, perasaan gembira dan teruja dapat menyertai program itu turut dikongsi Mohd Aiman Ramli, 23, dari Ladang Pinang Mas, Bukit Besi, Dungun.

“Saya gembira kerana terpilih menyertai latihan ini sejak Oktober lalu dan mahu memanfaatkan peluang yang ada dan akan mengikuti kursus yang disediakan TDMP sepanjang enam bulan ini dengan penuh kesungguhan.

“Selain dapat ilmu dan kemahiran, TDMP juga sediakan elaun kepada pelatih dan pastinya ia memberi banyak kelebihan kepada kami sebelum dapat bekerja sepenuhnya dalam sektor perladangan nanti,” katanya lagi.

Seorang lagi peserta, Mohd Faizul Che Seman, 23, dari Ladang Pelantoh, Kemaman pula berhasrat memiliki pekerjaan yang lebih baik dan sanggup meninggalkan pekerjaan sebelum ini sebagai pengawal keselamatan sejak beberapa bulan lalu.

“Ini peluang terbaik dan saya akan mengikuti program ini dengan penuh dedikasi bagi mendapatkan kemahiran mengenai pengurusan ladang sebelum benar-benar bersedia melakukan pekerjaaan itu apabila tamat program ini nanti,” katanya.

Seramai 49 pelatih mengikuti program yang menjadi antara tanggungjawab sosial TDMP Sdn Bhd bagi menambah baik kehidupan pekerja ladang dan mengurangkan kemiskinan golongan itu sejak diperkenalkan bermula 2007.

Semua pelatih yang terpilih akan menjalani latihan di ladang masing-masing selama enam bulan dan ditawarkan gaji dan elaun RM650, perumahan dan pelbagai kemudahan lain yang ada di ladang.