Halaman

08 January 2012

Wanita menyusur ke akar umbi

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) Terengganu mula menyusun strategi menawan hati pengundi 1Malaysia di negeri ini.

Ketuanya, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, mesyuarat jawatankuasa membabitkan Wanita MCA, MIC , Gerakan dan UMNO akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan program menambat hati pelbagai kaum.

“Program peringkat kedua ini memberi tumpuan kepada semua bangsa dan tidak tertumpu kepada Melayu sahaja sebagai kaum majoriti di negeri ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini aktiviti yang dilaksanakan secara berasingan iaitu Wanita UMNO dengan pengundi Melayu, Wanita MCA bersama pengundi Cina dan Wanita MIC bersama pengundi keturunan India.

Menurutnya, dalam program yang diadakan nanti semua parti komponen serentak turun padang bertemu dengan semua golongan pengundi tanpa tertumpu sesuatu kaum sahaja.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri dan Ketua Pergerakan Wanita Hulu Terengganu telah lama menyusun program mendekati rakyat hingga akar umbi.

“Wanita melalui Skuad Sayang mengadakan aktiviti sembang petang, menziarah warga emas, orang miskin, ibu bersalin, uzur terlantar sepanjang masa dan bukan untuk kempen pilihanraya semata-mata,” katanya.

Tambahnya, rasa tanggung jawab terhadap kesukaran hidup masyarakat yang diamalkan oleh semua pemimpin kerajaan BN dan Wanita tidak pernah jemu membantu apa yang termampu bagi meringankan beban mereka.

Katanya, sokongan moral mampu meniup semangat kepada mereka menghadapi kesukaran di samping bantuan wang ringgit untuk meneruskan kelangsungan hidup.