Halaman

12 January 2012

Kota Batik di Kompleks Usahawan Terengganu beroperasi Mac ini

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu bakal memiliki sebuah 'Kota Batik' yang dibina di Kompleks Usahawan Terengganu di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dalam usaha memajukan lagi industri batik di negeri ini.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) A Razak Sulaiman berkata kompleks bernilai RM25 juta telah siap dibina dan dijangka beroperasi Mac ini.

Selain menawarkan peluang perniagaan kepada 48 usahawan, kompleks itu juga akan dilengkapi bahagian penyelidikan dan pembangunan serta bengkel kraf kreatif songket, katanya baru-baru ini.

Selain itu katanya, kompleks itu juga menempatkan sebuah premis mencetak batik blok bagi tujuan demonstrasi, galeri batik dan ruang peragaan fesyen batik.

Kompleks itu diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini sekali gus menjadi alternatif untuk penggemar batik selain mendapatkannya dari Pasar Payang.

A Razak berkata kompleks tiga tingkat itu juga menempatkan Pasar ICT di tingkat satu, bagi membuka peluang kepada usahawan teknologi maklumat.