Halaman

13 January 2012

2 balai polis di Terengganu dipilih menyertai anugerah MCPF kebangsaan

Oleh: Mohammad Ishak



Pasukan penilai bergambar kenangan bersama anggota balai dan pemimpin masyarakat


SEMANGAT kerja berpasukan yang menjadi amalan kepada anggota polis negeri ini memberi peulangan kepada dua balai polis menyertai pertandingan akhir Anugerah MCPF Balai Polis Cemerlang peringkat kiebangsaan.

Dua balai polis yang terpilih ialah Balai Polis Pasir Akar,Hulu Besut mewakili kategori luar bandar dan Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu bagi kategori bandar.

Serombongan panel penilai anugerah berkenaan diketuai Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan,Datuk Kamaruddin Md Ali bersama lima anggota lain mengadakan sesi penilian di kedua-dua balai polis terbabit semalam.

Kamaruddin berkata, penilian berasaskan kepada beberapa faktor termasuk kejayaan mengurangkan kadar jenayah, kerjasama dengan komuniti dan keadaan fizikal balai polis yang dinilai.

Katanya, sebanyak 27 balai polis dari seluruh negara dipilih menyertai anugerah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Kebangsaan yang dilakukan sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, pemenang anugerah itu dijangka diumumkan pada April ini selepas semua balai polis yang dipilih menyertai anugerah selesai dinilai oleh anggota panel yang turut dianggotai oleh beberapa jabatan termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Ketika mengunjungi balai Polis Pasir Akar semalam, rombongan turut disambut oleh pegawai kanan polis negeri dan daerah Besut serta pemimpin masyarakat sekitar Kawasan Hulu Besut.

“Pemenang anugerah itu akan mendapat sijil dan menghantar ketua balai ke Hong Kong selama dua minggu untuk mempelajari ilmu kepolisian negara itu yang dianggap terbaik di dunia,” katanya.