Oleh: Aida Abd Rahman
Kecemerlangan atlet dari negeri ini di pentas antarabangsa terus mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.
Terbaru, 29 atlet daripada pelbagai acara sukan yang berjaya memungut pingat pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 lalu menerima insentif berjumlah RM85,500.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Terengganu menjadi negeri yang menghantar atlet teramai ke temasya Sukan SEA iaitu 64 orang yang mewakili 9.05 peratus daripada jumlah keseluruhan 658 atlet seluruh Malaysia.
“Semua atlet dan pegawai berkenaan sudah menerima insentif Skim Wakil Negara atau SWARA sebanyak RM1,000 bagi acara individu dan RM750 bagi atlet berpasukan dan jumlah keseluruhan peruntukan yang dibayar RM57,300,” katanya di Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan SEA dan Para Asean , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.
Dalam majlis itu juga, 11 atlet dari Terengganu yang mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN Solo Indonesia 2011 turut mendapat ganjaran berjumlah RM49,000.
Antara penerima insentif itu termasuk empat atlet berbasikal negara, iaitu pelumba sensasi, Fatehah Mustafa, 23, yang menjadi atlet mendapat insentif tertinggi berjumlah RM10,500 selepas memungut tiga emas dalam temasya sukan SEA lalu.
Pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh menerima RM6,500 selepas meraih dua emas, diikuti Muhamad Adiq Husainie Othman yang menghasilkan satu emas dan satu perak memperolehi RM5,500 serta Amir Mustafa Rusli meraih satu emas RM2,500.
Dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad, 20, dan Nurul Syafiqah Hashim, 18, pula masing-masing menerima RM5,500 dan RM2,000.
Manakala Mohammad Azlan Mat Lazin yang mewakili negara dalam acara olahraga di Sukan Para Asean meraih insentif tertinggi iaitu berjumlah RM11,500.