Halaman

10 January 2012

Kadar jenayah kurang di Setiu

Oleh; Esah Abdullah

Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu berjaya menyelesaikan kes-kes yang berlaku di daerah itu sebanyak 60 peratus berbanding 20 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu pihaknya berjaya menyelesaikan 85 kes daripada 146 kes yang dilaporkan.

“Perkembangan ini berlaku hasil kerjasama semua pihak pegawai bertugas dan masyarakat keliling yang tampil memberi maklumat,” katanya.

Tambahnya, tahun ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada kes kecurian susu getah beku yang berleluasa selain meningkatkan tangkapan penjualan air ketum.

Menurutnya, kes penyalahgunaan dadah dan jenayah lain juga tidak akan terlepas dari tindakan pihak polis sejajar dengan hasrat menjaga keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

“Kita berhasrat untuk memastikan kadar penyelesaian kes jenayah dapat diselesaikan secara keseluruhan bagi memastikan daerah ini terus berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, kadar jenayah daerah itu adalah yang terendah berbanding daerah lain di negeri ini di mana sepanjang November lalu pihaknya berjaya selesai lima daripada tujuh kes yang dilaporkan.