Sebanyak RM350,000 diperuntukkan TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) sejak 2007 bagi mengadakan Program Latihan Pegawai Luar sebagai pendedahan dalam pelbagai aspek pengurusan dan operasi ladang kelapa sawit.
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Haji Ab Halim Yusof, berkata program dua tahun sekali itu sudahpun disertai 49 pelatih termasuk kumpulan terbaru seramai 20 orang yang mengikuti latihan sejak Oktober lalu.
Beliau berkata, pelatih yang terpilih bukan sahaja mendapat ilmu dan kemahiran pengurusan ladang, mereka turut ditawarkan gaji dan elaun RM650, perumahan serta pelbagai kemudahan lain yang ada di ladang.
Katanya, program itu menjadi antara tanggungjawab sosial TDMP bagi menambah baik kehidupan pekerja ladang dan mengurangkan kemiskinan golongan itu.
“Semua pelatih yang terpilih akan menjalani latihan di ladang masing-masing selama enam bulan dan antara kriteria pemilihan mereka perlu berkelulusan minima Sijil Pelajaran Malaysia, anak kakitangan atau pekerja TDMP Sdn Bhd.
“Selepas tamat tempoh latihan, sekiranya ada kekosongan dan berkelayakan, mereka akan diserap sebagai pegawai pelatih, jika tiada kekosongan akan disimpan sebagai calon simpanan untuk masa akan datang,” katanya.