Halaman

08 January 2012

Penduduk empat kampung terima pampasan RM18 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri membayar wang pampasan pengambilan balik tanah lebih RM18.11 juta kepada 137 penduduk di empat buah kampung, dekat sini selepas tanah milik mereka digunakan untuk menjayakan projek pembinaan jalan.

Mereka menerima wang pampasan apabila tanah mereka di Kampung Jeram, Banggol Donas, Kubang Jela dan Teluk Pasu terlibat dalam projek pembinaan jambatan dan jalan empat lorong dari Kampung Bukit Guntong, Tepuh ke Kampung Teluk Pasu sejauh sembilan kilometer.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, Omar Mat berkata, bayaran pampasan untuk projek fasa dua itu masih berbaki 65 lot belum diselesaikan dan belum dikeluarkan Borang G dan Borang H.

“Kelewatan itu berpunca daripada kes-kes berbangkit seperti siasatan semula status tanah, pampasan rumah dan struktur binaan serta proses mengenal pasti waris pemilik tanah terlibat. Ini termasuklah 15 lot lagi di Kampung Banggol Donas.

“Daripada jumlah 137 cek yang dikeluarkan hari ini, 13 daripadanya melibatkan pampasan rumah kediaman dan selebihnya lot tanah yang diambil,” katanya pada majlis pembayaran pampasan itu di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, semalam.

Turut hadir, ADUN Teluk Pasu, Dato' Abdul Rahin Dato' Mohd. Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri.

Projek bernilai RM229 juta itu memberi manfaat kepada penduduk di 14 buah kampung apabila ia menghubungkan kawasan berkenaan dengan Bandar Raya Kuala Terengganu apabila fasa tiga dihubungkan dengan projek Jambatan Sakti berdekatan Muzium Negeri di Losong sedikit masa lagi.

Sebelum ini, Kerajaan negeri telah selesai membayar sejumlah RM14 juta kepada 76 pemilik lot tanah untuk projek sama fasa satu antara Kampung Jeram Tok Kong ke Bukit Guntong.

Tambah Omar, pemilik 13 buah rumah yang bakal dirobohkan turut diberi keistimewaan memilih tapak perpindahan baru bernilai kira-kira RM70,000 satu lot di kampung asal mereka.

Daripada jumlah itu katanya, lot perpindahan yang telah diagihkan meliputi dua lot di Kampung Jeram, Kubang Jela (4 lot), Teluk Pasu (6 lot) dan Banggol Donas (1 lot).

“Lot perpindahan yang masih kosong bakal diisi oleh pemilik-pemilik rumah yang yang terlibat dengan pengambilan tanah di mana kes mereka masih belum selesai,” ujarnya.