Halaman

24 January 2012

17 peserta ETA Fullbright dari Amerika Syarikat di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penempatan tersebut merupakan tahun ketujuh negeri ini mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, untuk program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak 2006 lagi.

"Bezanya pada tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran," ujarnya semalam.

ETA merupakan program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 orang ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari ini.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA itu pada tahun ini.

"Kita ada pohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

"Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini," katanya.


Anuar Manan ketuai skuad negara di ACC

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba sensasi negara, Anuar Manan akan mengetuai skuad lebuh raya negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur pada 14 Februari ini.

Jurulatih negara, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata Anuar, anak kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu adalah enam pelumba yang disenaraikan untuk menghadapi kejohanan lima hari itu.

"Kita akan menurunkan pelumba-pelumba yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing," katanya.

Selain Anuar, pelumba- pelumba yang akan mewakili negara ialah Zamri Salleh, Harrif Salleh, Suhardi Hassan, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Akmal Amrun dan Amir Mustafa Rosli.

Syed Mohd Hussaini berharap kehadiran Anuar akan memberi suntikan semangat kepada pelumba-pelumba yang lain untuk membawa cabaran serta mengharumkan nama negara dalam kejohanan berprestij itu.

Beliau berkata di samping itu, skuad negara juga menyenaraikan Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Ng Yong Li untuk menggalas cabaran acara ujian masa perseorangan lebuh raya dalam kejohanan itu.



Konsep turun padang bantu BN dekati rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Konsep turun padang yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) memberi kesan mendalam kepada rakyat melalui penjelasan isu berbangkit yang disampaikan ke peringkat akar umbi.

“Penerangan yang dibuat melalui perjumpaan di peringkat cawangan dan kawasan ternyata berjaya merungkai masalah kalangan penduduk tempatan,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Katanya, BN tidak akan berhenti untuk bertemu rakyat dengan pelbagai bantuan untuk memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa di bawah kepimpinan kerajaan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Beliau yakin, rakyat hari ini tidak mudah digula-gulakan oleh pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam masyarakat dengan menabur pelbagai fitnah.

“Kita akan terus memberitahu seluruh rakyat, agar tidak terpedaya dengan janji manis pembangkang kerana itu sebahagian daripada cara mereka menarik pengundi memilih mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan BN yang beri segala bantuan untuk meringankan kehidupan orang miskin, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah bukannya pihak pembangkang yang hanya tahu menabur janji.

“Jika semua ini mahu dikekalkan, rakyat perlu pilih BN untuk terus memerintah negeri dan negara agar masa depan generasi muda terus terbela,” katanya.




Zoo Bukit Takal destinasi keluarga

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pelbagai spesies haiwan, termasuk singa, harimau dan tapir, yang ditempatkan di Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman, menjadi daya tarikan lokasi pelancongan itu menarik minat pelawat untuk berlibur bersama keluarga pada hujung minggu.

Zoo berkenaan kini sudah memiliki 248 haiwan pelbagai spesies haiwan sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

Akhir tahun lalu, pihak pengurusan zoo berkenaan menerima 13 ekor singa untuk tontonan pelawat di samping dua ekor kuda padi, buaya tembaga (dua) dan seekor buaya jejulong.

Sebelum ini, ia turut menempatkan Taman Tema Air dan dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka serta seekor tapir, bagi menarik lebih ramai pelawat.

Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan tersebut.

Haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak, musang dan gajah.

Bilangan haiwan di zoo berkenaan sentiasa ditambah dari semasa ke semasa mengikut keupayaan pihak pengurusannya.

Antara haiwan yang terdapat di mini zoo itu termasuk burung unta serta pelbagai spesies burun g lain, rusa, beruang, monyet, ungka, ular, buaya dan ikan naga.

Turut menjadi perhatian pengunjung zoo berkenaan “Chiko”, harimau jantan berusia tiga tahun serta pasangannya harimau betina, “Country” yang jauh lebih tua, iaitu lapan tahun.

Kawasan Taman Rekreasi dan Mini Zoo ini yang dulunya merupakan dusun buah-buahan, kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, terutama menjelang hujung minggu.

Taman Rekreasi dan Mni Zoo Bukit Takal berbeza dengan zoo-zoo lain kerana ia lebih menekankan konsep terbuka dan mengekalkan alam semulajadi agar haiwan lebih selesa ditempatkan di sini.

Lebih menarik, taman ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah untuk seiisi keluarga, taman permainan kanak-kanak, kolam renang dan gelongsong air.

Bukit Takal dipilih kerana ia terletak di kawasan pertengahan antara pusat bandar Kuala Terengganu dan Kuantan. Selain itu, ia juga memudahkan penduduk dari negeri lain seperti Pahang , Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk turut berkunjung bersantai bersama keluarga di situ.



3.9 juta lawat Terengganu tahun lalu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Kira-kira 3.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu, melebihi sasaran kerajaan untuk menarik 3.4 juta orang ke Terengganu.

Berdasarkan pertambahan mendadak kedatangan pelancong itu, tahun ini kerajaan negeri telah mensasarkan untuk menarik empat juta pelancong dari dalam dan luar negara.

Pelbagai galakan dan inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri, khususnya projek memajukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan, menjadi faktor utama pertambahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Dato’ Abdul Rahim Mohd Said, berkata pada tahun ini pihaknya akan meneruskan program-program peringkat antarabangsa yang menjadi daya penarik pelancong asing.

Program itu termasuk Kenyir Lake International di Pengkalan Gawi ( 24 hingga 25 Mac), International Terengganu Starhill 2012 di pinggiran Stadium Sultan Mizan (9 hingga 12 Mac), Kapas-Marang International Swimathon, Pulau Kapas (28 hingga 29 April) dan International Perhentian Island Challenge di Pulau Perhentian (Oktober).

Program lain yang bakal diadakan tahun ini ialah Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge di Lembah Bidong (19 hingga 21 Oktober) dan Terengganu Quicksilver Best Event Surf Contest di Pantai Batu Buruk (30 November hingga 2 Disember).

Beliau yakin pelbagai program yang diatur sepanjang tahun itu akan menarik minat pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Terengganu, termasuk pada musim tengkujuh.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, kerajaan negeri mempergiatkan pelbagai usaha menghidupkan kembali tradisi budaya warisan negeri bagi menarik minat pengunjung.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menghidupkan semula semua jenis permainan tradisional yang ada di Terengganu agar warisan berkenaan terus hidup dan bertahan untuk tatapan generasi akan datang.


PRU 13 – Wanita UMNO tidak akan terpekik, terlolong

Oleh FAUZI MOHD

Pergerakan Wanita UMNO, khususnya Wanita Dungun tidak akan terpekik dan terlolong dalam memujuk rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.



Dengan menyifatkan PRU kali ini agak luar biasa, Ketua Wanita UMNO Dungun, Zainun Abu Bakar berkata, pergerakan itu tidak mudah melatah seperti sebahagian sayap wanita parti lawan yang dilihat sudah tersasar dari sifat keibuan.

Tanpa banyak kerenah dan polimik kepartian katanya, tulang belakang parti itu merupakan jentera yang paling berkesan dalam membawa mesej parti pada PRU melalui pendekatan yang mesra dan disenangi pengundi.

“Walaupun ada kumpulan wanita parti lawan terpekik, terlolong sehingga ada yang menghamburkan perkataan ‘UMNO mampus’, kita jangan melatah walaupun kita dicemuh dan dihina sedemikian rupa.

“Kami tidak akan mengikut rentak mereka yang kami rasa sudah tergolong dalam ‘kumpulan rimba’. Kami wanita akan jaga nama baik UMNO dengan membawa mesej parti untuk kebaikan rakyat,” katanya yang disambut tepukan gemuruh.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Ramah Mesra Wanita UMNO Dungun bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di Padang Merdeka di sini petang semalam.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Wira Rosli Mat Hassan dan Timbalannya, Datuk Zaabar Mohd. Adib serta Naib Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Matulidi Jusoh.

Tambah Zainun, tiada pihak yang boleh mempertikaikan keupayaan Wanita UMNO sebagai tunjang parti kerana pergerakan itu tidak gah dengan namanya tetapi berkesan dalam gerak kerja membantu parti dalam PRU.

Sementara itu, Dato' Seri Ahmad memberitahu, isyarat bermulanya PRU ke-13 yang diberikan Perdana Menteri sudah semakin hampir dan meminta semua jentera parti di pelbagai peringkat bersiap sedia untuk turun ke ‘medan perang’.



Di peringkat perhubungan UMNO negeri katanya, persiapan sudah berjalan dengan lancar antaranya siri pertemuan beliau dengan semua jentera Wanita UMNO bahagian yang sedang berjalan dan diikuti pertermuan bersama Pemuda serta Puteri selepas ini.

“UMNO negeri turut anjurkan pertandingan peti undi yang melibatkan semua 343 peti undi seluruh negeri yang antara lainya membuat bancian sikap terhadap 603,641 pengundi berdaftar di Terengganu sehingga kini.

“Begitu juga bancian sikap dan profil kira-kira 69,000 pengundi luar telah disiapkan. Kita ada semua maklumat pengundi luar seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal, alamat semasa dan pekerjaan,” katanya.




Untuk pergerakan wanita kata Menteri Besar itu, sebanyak 10,000 kaki payung berwarna biru dengan logo Barisan Nasional sedang diagihkan kepada golongan itu di seluruh negeri bagi menaikkan lagi semangat juang jentera berkenaan.



Video PRU13-Wanita UMNO Tidak Akan Terpekik,Terlolong








23 January 2012

Tiada kemalangan serius sebelum Tahun Baru Cina - Dato' Toh

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiada kemalangan serius dilaporkan dalam tempoh dua hari walaupun jalan raya di sekitar negeri ini sesak dengan kenderaan berikutan orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung sempena musim perayaan Tahun Baru Cina, kata Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

“Baru tadi saya dimaklumkan oleh Ketua Polis (negeri) bahawa di negeri Terengganu dua hari ini walaupun jumlah kenderaan begitu banyak yang pulang ke kampung, tetapi tiada kemalangan yang serius dilaporkan berlaku.

“Ini menunjukkan kesedaran terhadap pemanduan dan keselamatan di jalan raya semakin meningkat,” katanya di majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2012, di Laluan Pintu Gerbang Jalan Kampung Cina, Kuala Terengganu, semalam (22 Januari).



Sebanyak 1,700 unit beg kertas yang mengandungi air mineral, buah limau serta risalah dan pelekat mengenai keselamatan jalan raya diagihkan kepada pengguna kenderaan sempena pelancaran itu.

“Setiap kali musim perayaan kita adakan kempen bagi mengingatkan orang ramai terutama pemandu kereta supaya sentiasa meningkatkan cirri keselamatan dan berhati-hati di jalan raya.

“Sikap itu bukan sahaja perlu dipupuk pada musim perayaan sahaja, tetapi setiap masa dan walaupun di mana berada bagi menjamin keselamatan,” katanya.



Program tahunan itu anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis dan Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu.


 Video Tiada Kemalangan Serius Sebelum Tahun Baru Cina










Hak milik tanah: “Terimakasih Kerajaan Negeri”

Oleh: Nurul Aziela Saberi

“Kalau tidak kerana keprihatinan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekarang ini, mustahil kami kepunan untuk memiliki geran hak milik tanah sendiri yang sah,”

“Kami merasa lega setelah penantian selama tiga tahun akhirnya `berbuah’ juga. Terimakasih Dato’ Seri...terimakasih kerajaan negeri,” kata Kwek Bee Lian, 59, yang begitu teruja apabila memperolehi geran tanah yang disampaikan oleh pemimpin yang prihatin dan sentiasa membela rakyat.

Majlis menyerahan geran hak milik tanah kepada seramai 600 orang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, pagi ini (22 Jan 2012).

Menurut Kwek Bee Lian, kalau tidak kerana kerajaan hari ini yang sentiasa membela rakyat, beliau mungkin `bermimpi’ sepanjang masa untuk memiliki tanah 500 persegi. Tetapi hari ini, beliau amat gembira selepas tiga tahun menanti, akhirnya termakbul juga impiannya.

Kegembiraan itu dikongsi Kembang Daud, 78, yang cukup terharu apabila kerajaan telah mengotakan janji mereka untuk memberi tanah lain kepadanya bagi menggantikan tanahnya di tapak Casa Limbong Kemaman diambil untuk dijadikan pusat membeli-belah.

Manakala Ibrahim Komee, 67 yang tinggal keseorangan di rumah dan hanya bergantung kepada bantuan kerajaan sebanyak RM200 sebulan amat berharap diusia tuanya beliau dapat menetap ditanah sendiri. Dan Alhamdulillah hasratnya itu termakbul pada pagi ini setelah 4 tahun memohon.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, warga Kemaman seharusnya bersyukur kerana penantian selama ini untuk memiliki geran tanah sendiri bukanlah satu penantian yang sia-sia.
Hal ini terbukti apabila pihak kerajaan telah mengotakan janji mereka dengan memberi geran hak milik tanah kepada rakyat setelah melalui beberapa proses.

“Sehubungan itu, rakyat perlu menghargai setiap ekar tanah yang dimiliki dan tidak semudahnya menjual atau menukar hak milik kepada orang lain,” katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang menerima geran hak milik tanah supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan membayar cukai tanah setiap tahun.

Tambah beliau lagi, cukai tanah di negeri Terengganu merupakan cukai yang terendah iaitu serendah RM2 untuk setahun. Malah kakitangan kerajaan juga beruntung apabila berhak memohon tanah lot perumahan atau lot pertanian setelah lama berkhidmat.

Turut hadir di majlis penyerahan itu isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Adun Air Putih YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar; Adun Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera; Adun Kemasik YB. Ir Rosli Othman dan Ketua Wanita UMNO Kemaman, Senator Rohani Abdullah.

Rumah terbuka MCA Besut meriah

Oleh: Mohammad Ishak


Jawatankuasa MCA Besut bergambar kenangan bersama pemimpin BN Besut


Kehadiran masyarakat pelbagai kaum sekitar daerah Besut di majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA Bahagian Besut yang berlangsung di Sekolah Rendah Chong Hwa, Jertih, mencerminkan semangat setia kawan dan perpaduan erat dikalangan penduduk daerah itu.

Penyertaan pemimpin Barisan Nasional Bahagian Besut diktuai Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalalan Ketua Bahagian, Nawi Mohamad, Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof, Setiausahanya, Dr A Rahman Mokhtar dan Bendahari, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin melengkapkan sokongan mereka kepada masyarakat Cina.

Kira-kira 1,000 jemputan mewakili masyarakat pelbagai kaum termasuk komuniti Melayu, India dan Siam memeriahkan lagi majlis yang turut mengagihkan basikal, boucer pembelian cermin mata dan hamper kepada golongan miskin.

Seramai 30 penerima diberikan boucer untuk membeli kaca mata sumbangan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kepada masyarakat kurang berada keturunan Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman berkata, beliau bangga dengan semangat perpaduan di kalangan masyarakat daerah Besut yang terus member kerjasama dan menunjukan semangat perpaduan.

Katanya, rumah terbuka anjuran MCA itu juga memberi peluang kepada semua kepemimpinan kerajaan di daerah Besut untuk bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat keturunan Cina, India dan Siam di daerah itu.


Dr A Rahman menyampaikan bocer pembelian kaca mata kepada seorang penduduk keturunan Cina

“Semangat perpaduan seperti ini perlu dikekalkan supaya negeri ini terus makmur dan maju di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sebelum itu,Idris ketika berucap pada majlis itu mahu masyarakat Cina negeri ini menyokong BN jika mahu nasib mereka terus dibela dan diberi perhatian menerusi pelbagai bantuan setiap tahun.




Risda buka permohonan TSB

Oleh; Esah Abdullah

Pekebun kecil di negeri ini digesa membuat permohonan awal jika ingin menyertai Program Tanam Semula (TSB) getah tahun ini.

Pengarah Risda negeri, Haji Zakaria Mat Zin berkata, walaupun permohonan dibuka hingga akhir tahun, jika buat permohonan awal proses penanaman semula dapat dilakukan pada tahun yang sama.

Katanya, Risda menerima peruntukkan RM2 juta daripada Kerajaan Pusat untuk laksanakan TSB di negeri ini dan kadar ditetapkan ialah RM9,230 untuk setiap hektar.

“Tahun lalu seluas 103 hektar kawasan berjaya di tanam semula dengan pokok getah baru di mana jumlah ini melebihi sasaran jabatan iaitu 100 hektar,” katanya.

Menurutnya, pekebun kecil boleh datang ke pejabat Risda berhampiran untuk mendapat borang permohonann di samping khidmat nasihat mengenai penanaman semula getah daripada pegawai bertugas.