Halaman

24 January 2012

17 peserta ETA Fullbright dari Amerika Syarikat di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 17 daripada 50 Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fullbright dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar ke negara ini akan ditempatkan di beberapa sekolah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penempatan tersebut merupakan tahun ketujuh negeri ini mendapatkan khidmat ETA sebagai salah satu usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, untuk program kali ini, pihaknya akan menumpukan penempatan di sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah premier dan sekolah elit.

"Program ETA sebenarnya bukan asing bagi kita kerana ia dilaksanakan di sini sejak 2006 lagi.

"Bezanya pada tahun ini ialah, ia tidak lagi diletakkan di bawah seliaan kerajaan negeri sebaliknya telah diambil alih oleh Kementerian Pelajaran," ujarnya semalam.

ETA merupakan program jaringan yang diwujudkan bagi mempromosikan pertukaran pendidikan antara Malaysia dan AS.

Kumpulan 50 orang ETA itu tiba di negara ini pada 4 Januari dan sebahagiannya akan turut ditempatkan di Johor dan Pahang selama 10 bulan mulai 31 Januari ini.

Menurut Ahmad Razif, berdasarkan pengalaman Terengganu, 100 peratus format dan modul yang pernah digunakan akan terus dikekalkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk menambah bilangan tenaga pengajar menerusi program ETA itu pada tahun ini.

"Kita ada pohon daripada Fullbright untuk tujuan itu tetapi mereka hanya sediakan 50 ETA untuk Malaysia kali ini.

"Justeru, kita kini sedang mengenal pasti negara-negara lain termasuk United Kingdom untuk menambah bilangan tenaga pengajar Bahasa Inggeris di sini," katanya.