Halaman

22 January 2012

Terengganu sasar kemenangan pembuka tirai

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai suntikan moral kepada pemain menempuhi perlawanan berikutnya, Terengganu berazam menumpaskan Pulau Pinang apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan pembuka tirai bola sepak Piala Presiden Terengganu, di padang bola Gong Badak, Kuala Terengganu pada 2 Februari ini.

Jurulatihbya, Encik Zakari Alias berkata bagi kemenangan Terengganu itu penting bagi menyuntik semangat pemain untuk menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Kita sudah bersiap sedia dan akan memastikan kemenangan menjadi milik kita pada perlawanan yang bermula 4.45 petang di padang bola Gong Badak itu nanti," katanya.

Katanya, walaupun Terengganu kehilangan lima pemain tonggak kerana menyertai pasukan Harimau Muda B, namun kehebatan pasukan tidak terjejas.

Pemain-pemain yang berhijrah itu adalah Alif Shafiq Suhaimi, Mohd Radhi Mohd Yusof, Wan Ahmad Amir Safran Wan Moris (pertahanan), Mohd Hafiza Alias (midfield) dan Ilham Amirullah Razali (penjaga gol).

Bagaimanapun, Encik Zakari berkata pasukan Piala Presiden Terengganu agak terubat apabila dua bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Syed Sobri Syed Omar dan Shahami Asha'ari turut memperkuat pasukan itu bagi bahagian tengah dan serangan.

Daripada 25 pemain yang disenaraikan untuk Piala Presiden tahun ini, 10 orang adalah pemain tahun lalu manakala selebihnya muka-muka baru.

Katanya Terengganu yang telah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu mensasarkan empat pasukan terbaik tahun ini setelah kecewa di peringkat kumpulan tahun lepas.