Halaman

24 January 2012

Konsep turun padang bantu BN dekati rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Konsep turun padang yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) memberi kesan mendalam kepada rakyat melalui penjelasan isu berbangkit yang disampaikan ke peringkat akar umbi.

“Penerangan yang dibuat melalui perjumpaan di peringkat cawangan dan kawasan ternyata berjaya merungkai masalah kalangan penduduk tempatan,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Katanya, BN tidak akan berhenti untuk bertemu rakyat dengan pelbagai bantuan untuk memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang selesa di bawah kepimpinan kerajaan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyat.

Beliau yakin, rakyat hari ini tidak mudah digula-gulakan oleh pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan dalam masyarakat dengan menabur pelbagai fitnah.

“Kita akan terus memberitahu seluruh rakyat, agar tidak terpedaya dengan janji manis pembangkang kerana itu sebahagian daripada cara mereka menarik pengundi memilih mereka,” katanya.

Tambahnya, kerajaan BN yang beri segala bantuan untuk meringankan kehidupan orang miskin, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan pelajar sekolah bukannya pihak pembangkang yang hanya tahu menabur janji.

“Jika semua ini mahu dikekalkan, rakyat perlu pilih BN untuk terus memerintah negeri dan negara agar masa depan generasi muda terus terbela,” katanya.