Halaman

28 January 2012

KPTM, Ketengah jalin kerjasama tubuh kampus ke-10

Oleh FAUZI MOHD

Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) bakal menubuhkan cawangan kampusnya yang kesepuluh di Dungun, Terengganu melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya kini dalam proses akhir perbincangan dengan Ketengah bagi merealisasikan rancangan itu yang dijangka mengambil 300 pelajar baru sebagai permulaan.

"Penubuhan cawangan baru akan membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar sama seperti usaha yang dilakukan sebelum ini dengan pembukaan KPTM-Kesedar di Gua Musang pada pertengahan tahun lalu.

"Pihak Ketengah sudah mempunyai bangunan dan fasiliti kolej miliknya sendiri dan fungsi KPTM adalah untuk menyalurkan pengalaman dan kepakaran kita dalam bidang pendidikan," katanya semalam.

Tambah beliau, KPTM sebagai kolej bumiputera terbesar dalam negara dengan 15,000 pelajar kini sudah mempunyai sembilan kampus cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Bangi, Batu Pahat, Kuantan, Alor Setar, Kuantan, Semporna, Kota Bharu dan Kesedar-Gua Musang.

Jelasnya lagi, KPTM mahu memberi fokus kepada program yang berimpak tinggi dan antara usaha yang dibuat adalah mengadakan kerjasama dengan kolej luar negara.