Kelab Riadah dan Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu (Kertab) menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 serta sijil bagi peserta yang menjuarai pertandingan ala The Biggest Loser iaitu 'Cabaran 14 Minggu : Amboi, Slimnya' di Taman Awam Batu Buruk di sini bermula 17 Februari ini.
Dalam pertandingan anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Mysihat) itu, naib johan akan membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil manakala tempat ketiga, RM300 serta sijil.
Setiausaha Kertab, Md. Hassan Ibrahim berkata, pihaknya juga menyediakan hadiah sagu hati berupa hamper kepada para peserta yang mendapat tempat keempat sehingga 10.
Beliau yang juga pengarah program itu berkata, ia dianjurkan bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah serta pemakanan seimbang agar masalah berat badan tidak berlebihan sehingga boleh membahayakan kesihatan.
Menurutnya, melalui pertandingan selama 14 minggu berturut-turut yang dijangka berakhir 19 Mei depan, para peserta dikehendaki menurunkan berat badan sekurang-kurangnya tiga kilogram bagi membolehkan mereka mendapat hadiah tersebut.
"Pertandingan ini diadakan setiap minggu bermula 17 Februari ini iaitu pada setiap Jumaat dan Sabtu dengan setiap peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan dan senamrobik.
"Aktiviti fizikal serta tips kesihatan yang disediakan pihak penganjur akan dapat mencapai sasaran berat badan yang ideal bagi setiap peserta," kata Md. Hassan ketika ditemui di sini semalam.
Mereka yang berminat menyertai pertandingan Cabaran 14 Minggu : Amboi Slimnya boleh mendapatkan borang penyertaan mulai sekarang dengan menghubungi Md. Hassan (013-9307621), Razali (019-9842429), Ahmad Radzi (017-9802456) dan Toh Puan Sharifah (019-9345277).
Tarikh tutup penyertaan ialah 10 Februari ini.