Seramai 1, 975 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi sesi pertama apabila pengagihan itu mula dilaksanakan sejak 17 Januari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, setiap penerima perlu memanfaatkan wang tersebut untuk kegunaan seisi keluarga.
“Tujuan kerajaan mengagihkan wang itu untuk memastikan keperluan rakyat berpendapatan rendah terus diberi keutamaan,” katanya di majlis penyampaian BRIM di Dewan Serbaguna, Kampung Maras, Batu Rakit.
Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee untuk melihat proses pengagihan wang kepada penerima berjalan lancar.
Menurutnya, setiap penerima yang layak menerima wang RM 500 secara berperingkat mengikut Dun berdasarkan senarai nama yang diterima sebelum ini.
“Justeru itu, sangkaan sesetengah pihak yang menyatakan pemberian itu sebagai motif politik tidak tepat kerana kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang sentiasa mementingkan keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Encik Mad Yusof Abdullah melahirkan rasa syukur kerana bantuan yang diterima ini begitu melegakannya sekeluarga disebabkan sudah lama tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki.
“Memandangkan saya hanya bergantung kepada pendapatan menangkap ikan untuk menyara anak-anak ia meringankan beban terutama membantu perbelanjaan keluarga pada awal tahun.
“Hanya perasaan syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang mampu diluahkan setelah mengetahui nama tersenarai untuk penerima peringkat pertama,” katanya.
Beliau berkata, wang yang diberi oleh kerajaan ini akan digunakan sebaik mungkin sebelum dapat turun ke laut semula mencari rezeki selepas ombak kembali tenang.