Seramai 15 keluarga terdiri masyarakat Cina dari Kampung Pantai Batu Rakit menerima agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) sempena Tahun Baru Cina yang disampaikan oleh Adun Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.
Pengagihan ini dilakukan pada minggu terakhir menjelang Tahun Baru Cina sebagai sumbangan khas bagi memudahkan masyarakat Cina membuat persiapan secara lebih terperinci.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri itu berkata sumbangan ini merupakan sebahagian daripada program yang telah disusun untuk kaum Cina bagi Dun Batu Rakit.
“Kerajaan sentiasa menyediakan yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan secara tidak langsung dapat beramah mesra selain berpeluang untuk berkongsi masalah,” katanya.
Seorang penerima, Lua Beng Song, 50-an, berkata, kecaknaan dari pemimpin tempatan kepada kumpulan minoriti yang tinggal di kawasan perkampungan Melayu menunjukkan masyarakat Cina tidak dipinggirkan.
“Sumbangan yang diberikan oleh kerajaan menambahkan kegembiraan seluruh ahli keluarga kami dan ia juga tuah sempena tahun naga yang dianggap begitu bermakna dalam kalender orang Cina,” katanya.