Halaman

28 January 2012

Basikal fixie 'serang' tiga kampung di Telemong

Oleh FAUZI MOHD

Kelibatnya di atas jalan raya sering menjadi tumpuan masyarakat. Bentuk dan warnanya yang pelbagai juga menarik perhatian pembeli untuk memiliki basikal era moden abad ke-21 ini.



Apa tidaknya, ia kini bagaikan badai melanda dan fenomena basikal fixie yang kini menjadi gaya baru remaja, semakin digilai.

Malah, ada pihak berkuasa tempatan di negeri ini yang berhasrat menyediakan laluan basikal dan taman basikal untuk memenuhi keinginan ‘luar biasa’ golongan remaja ini.

Nyata, hobi baru remaja ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan apa yang penting ia diharap dapat menghalang mereka daripada terus dilabelkan sebagai mat rempit.

Bagi membuktikan masih terdapat belia yang mengamalkan cara hidup sihat dan mempunyai jati diri tinggi, belia dan remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong menubuhkan Kelab Fixie N.21 Telemong (KFN.21)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, YB. Rozi Mamat berkata, penubuhan kelab tersebut dapat menghalang belia daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat.

“Mereka mempunyai minat sama iaitu basikal fixie. Jadi saya bercadang kumpulkan mereka di bawah satu persatuan," katanya pada majlis pelancaran kelab itu di Dataran Kuala Ping, Telemong, Hulu Terengganu sebentar tadi.



Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu, usaha itu berjaya apabila kini sudah mengumpulkan hampir 300 orang ahli di bawah KFN.21

“Kebanyakan ahli persatuan ini terdiri daripada pelajar. Setiap petang mereka akan berkumpul di kampung masing-masing untuk melakukan aktiviti bersama," jelasnya.

YB. Rozi berharap ahli kelab tersebut sentiasa mengikuti peraturan di jalan raya.



“Jangan ingat kita tidak perlu ikut undang-undang kerana menaiki basikal. Apa yang penting mereka perlu memakai peralatan yang sesuai, sentiasa mengamalkan sikap sabar dan tidak berlumba di atas jalan raya,” katanya.



Sempena pelancaran itu, ahli KFN.21 dan 120 peserta berbasikal dari Kelab Ngayuh Kuala Nerus turut serta dalam program gotong-royong membersihkan kawasan kampung yang dilanda banjir di Kampung Kepah dan Tengkawang.

Program dua hari itu turut melibatkan program penyerahan anak angkat daripada ahli Kelab Ngayuh Kuala Nerus kepada keluarga angkat di kedua-dua kampung berkenaan yang disempurnakan Rozi.

Mengunji kejaguhan anak muda, program berkenaan turut melibatkan Kembara Fixie sejauh enam kilometer, Fixie Stunt dan Fixie Kreatif.






Video Basikal Fixie Kampung Telemong