Halaman

24 January 2012

3.9 juta lawat Terengganu tahun lalu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Kira-kira 3.9 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu, melebihi sasaran kerajaan untuk menarik 3.4 juta orang ke Terengganu.

Berdasarkan pertambahan mendadak kedatangan pelancong itu, tahun ini kerajaan negeri telah mensasarkan untuk menarik empat juta pelancong dari dalam dan luar negara.

Pelbagai galakan dan inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri, khususnya projek memajukan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan, menjadi faktor utama pertambahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Dato’ Abdul Rahim Mohd Said, berkata pada tahun ini pihaknya akan meneruskan program-program peringkat antarabangsa yang menjadi daya penarik pelancong asing.

Program itu termasuk Kenyir Lake International di Pengkalan Gawi ( 24 hingga 25 Mac), International Terengganu Starhill 2012 di pinggiran Stadium Sultan Mizan (9 hingga 12 Mac), Kapas-Marang International Swimathon, Pulau Kapas (28 hingga 29 April) dan International Perhentian Island Challenge di Pulau Perhentian (Oktober).

Program lain yang bakal diadakan tahun ini ialah Sultan’s Cup Terengganu Endurance Challenge di Lembah Bidong (19 hingga 21 Oktober) dan Terengganu Quicksilver Best Event Surf Contest di Pantai Batu Buruk (30 November hingga 2 Disember).

Beliau yakin pelbagai program yang diatur sepanjang tahun itu akan menarik minat pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke Terengganu, termasuk pada musim tengkujuh.

Selain itu, bagi meningkatkan lagi sektor pelancongan, kerajaan negeri mempergiatkan pelbagai usaha menghidupkan kembali tradisi budaya warisan negeri bagi menarik minat pengunjung.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri menghidupkan semula semua jenis permainan tradisional yang ada di Terengganu agar warisan berkenaan terus hidup dan bertahan untuk tatapan generasi akan datang.