Halaman

28 January 2012

1,000 peserta sertai Jom Ngail Ikan darat



Oleh: Mohammad Ishak


Program Jom Ngail (mengail) ikan darat di Kampung Air Terjun, Jertih, berjaya menarik minat peserta apabila 1.000 penyertaan diterima oleh penganjur menjadikan aktiviti itu paling ramai disertai komuniti setempat di daerah Kawasan DUN Kuala Besut tahun ini.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Air Terjun dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Besut itu dirasmikan oleh ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut.

Peserta yang mewakili remaja, wanita, pelajar dan orang dewasa memenuhi parit tali air sepanjang dua kilometer untuk mengail di parit tali air kampung terbabit.

Meskipun jadual bermula jam 9 pagi tetapi peserta datang lebih awal untuk mengambil lokasi menarik bagi mendapatkan sumber ikan darat seperti ikan keli,haruan dan pelbagai jenis ikan darat.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Besut,Datuk Wan Zakaria Abd Rahman berkata, program membabitkan penduduk kampung itu akan dijadikan contoh kepada program di tempat lain kerana ia berjaya menarik perhatian ribuan peserta.

Katanya, biro berkenaan akan mengadakan program berasaskan penyertaan rakyat menerusi aktiviti setempat kerana ia satu kaedah berkesaan untuk mengumpul masyarakat dalam program sosial.

Wan Zakaria berkata, pihaknya sudah menyusun pelbagai program di bawah biro berkenanan sebagai persediaan menyalurkan maklumat parti dan kerajaan kepada rakyat di negeri ini.

“Jentera parti perlu digerakkan sekarang kerana suasana menghadapi pilihyan raya sudah dirasai oleh rakyat,” katanya.







KPTM, Ketengah jalin kerjasama tubuh kampus ke-10

Oleh FAUZI MOHD

Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) bakal menubuhkan cawangan kampusnya yang kesepuluh di Dungun, Terengganu melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya kini dalam proses akhir perbincangan dengan Ketengah bagi merealisasikan rancangan itu yang dijangka mengambil 300 pelajar baru sebagai permulaan.

"Penubuhan cawangan baru akan membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar sama seperti usaha yang dilakukan sebelum ini dengan pembukaan KPTM-Kesedar di Gua Musang pada pertengahan tahun lalu.

"Pihak Ketengah sudah mempunyai bangunan dan fasiliti kolej miliknya sendiri dan fungsi KPTM adalah untuk menyalurkan pengalaman dan kepakaran kita dalam bidang pendidikan," katanya semalam.

Tambah beliau, KPTM sebagai kolej bumiputera terbesar dalam negara dengan 15,000 pelajar kini sudah mempunyai sembilan kampus cawangan iaitu di Kuala Lumpur, Bangi, Batu Pahat, Kuantan, Alor Setar, Kuantan, Semporna, Kota Bharu dan Kesedar-Gua Musang.

Jelasnya lagi, KPTM mahu memberi fokus kepada program yang berimpak tinggi dan antara usaha yang dibuat adalah mengadakan kerjasama dengan kolej luar negara.


Cabaran 14 Minggu : Amboi, Slimnya di Taman Awam Batu Buruk

Oleh FAUZI MOHD

Kelab Riadah dan Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu (Kertab) menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 serta sijil bagi peserta yang menjuarai pertandingan ala The Biggest Loser iaitu 'Cabaran 14 Minggu : Amboi, Slimnya' di Taman Awam Batu Buruk di sini bermula 17 Februari ini.

Dalam pertandingan anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Mysihat) itu, naib johan akan membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil manakala tempat ketiga, RM300 serta sijil.

Setiausaha Kertab, Md. Hassan Ibrahim berkata, pihaknya juga menyediakan hadiah sagu hati berupa hamper kepada para peserta yang mendapat tempat keempat sehingga 10.

Beliau yang juga pengarah program itu berkata, ia dianjurkan bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah serta pemakanan seimbang agar masalah berat badan tidak berlebihan sehingga boleh membahayakan kesihatan.

Menurutnya, melalui pertandingan selama 14 minggu berturut-turut yang dijangka berakhir 19 Mei depan, para peserta dikehendaki menurunkan berat badan sekurang-kurangnya tiga kilogram bagi membolehkan mereka mendapat hadiah tersebut.

"Pertandingan ini diadakan setiap minggu bermula 17 Februari ini iaitu pada setiap Jumaat dan Sabtu dengan setiap peserta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan dan senamrobik.

"Aktiviti fizikal serta tips kesihatan yang disediakan pihak penganjur akan dapat mencapai sasaran berat badan yang ideal bagi setiap peserta," kata Md. Hassan ketika ditemui di sini semalam.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan Cabaran 14 Minggu : Amboi Slimnya boleh mendapatkan borang penyertaan mulai sekarang dengan menghubungi Md. Hassan (013-9307621), Razali (019-9842429), Ahmad Radzi (017-9802456) dan Toh Puan Sharifah (019-9345277).

Tarikh tutup penyertaan ialah 10 Februari ini.


Basikal fixie 'serang' tiga kampung di Telemong

Oleh FAUZI MOHD

Kelibatnya di atas jalan raya sering menjadi tumpuan masyarakat. Bentuk dan warnanya yang pelbagai juga menarik perhatian pembeli untuk memiliki basikal era moden abad ke-21 ini.



Apa tidaknya, ia kini bagaikan badai melanda dan fenomena basikal fixie yang kini menjadi gaya baru remaja, semakin digilai.

Malah, ada pihak berkuasa tempatan di negeri ini yang berhasrat menyediakan laluan basikal dan taman basikal untuk memenuhi keinginan ‘luar biasa’ golongan remaja ini.

Nyata, hobi baru remaja ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan apa yang penting ia diharap dapat menghalang mereka daripada terus dilabelkan sebagai mat rempit.

Bagi membuktikan masih terdapat belia yang mengamalkan cara hidup sihat dan mempunyai jati diri tinggi, belia dan remaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong menubuhkan Kelab Fixie N.21 Telemong (KFN.21)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, YB. Rozi Mamat berkata, penubuhan kelab tersebut dapat menghalang belia daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat.

“Mereka mempunyai minat sama iaitu basikal fixie. Jadi saya bercadang kumpulkan mereka di bawah satu persatuan," katanya pada majlis pelancaran kelab itu di Dataran Kuala Ping, Telemong, Hulu Terengganu sebentar tadi.



Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Majlis Sukan Negeri, Zainal Abidin Hussain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu, usaha itu berjaya apabila kini sudah mengumpulkan hampir 300 orang ahli di bawah KFN.21

“Kebanyakan ahli persatuan ini terdiri daripada pelajar. Setiap petang mereka akan berkumpul di kampung masing-masing untuk melakukan aktiviti bersama," jelasnya.

YB. Rozi berharap ahli kelab tersebut sentiasa mengikuti peraturan di jalan raya.



“Jangan ingat kita tidak perlu ikut undang-undang kerana menaiki basikal. Apa yang penting mereka perlu memakai peralatan yang sesuai, sentiasa mengamalkan sikap sabar dan tidak berlumba di atas jalan raya,” katanya.



Sempena pelancaran itu, ahli KFN.21 dan 120 peserta berbasikal dari Kelab Ngayuh Kuala Nerus turut serta dalam program gotong-royong membersihkan kawasan kampung yang dilanda banjir di Kampung Kepah dan Tengkawang.

Program dua hari itu turut melibatkan program penyerahan anak angkat daripada ahli Kelab Ngayuh Kuala Nerus kepada keluarga angkat di kedua-dua kampung berkenaan yang disempurnakan Rozi.

Mengunji kejaguhan anak muda, program berkenaan turut melibatkan Kembara Fixie sejauh enam kilometer, Fixie Stunt dan Fixie Kreatif.






Video Basikal Fixie Kampung Telemong




Konvoi Biru Nelang perkukuhkan jentera Pemuda, Puteri Terengganu

Oleh FAUZI MOHD



Konvoi Biru Nelang yang menjelajah ke seluruh Terengganu bakal memperkukuhkan barisan jentera kempen Pemuda dan Puteri UMNO menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Saiful Bahri Baharuddin berkata, konvoi yang disertai lebih 50 kereta dan pacuan empat roda itu akan bergerak ke seluruh Parlimen di Terengganu di mana Marang, Dungun dan Kemaman menjadi destinasi konvoi pertama.

Katanya, konvoi itu bagi menterjemahkan semangan Biru Nelang di mana kepimpinan orang muda yang berani, boleh berhadapan dengan pelbagai cabaran serta pemimpin serba boleh bagi menjadikan Barisan Nasional (BN) pilihan orang muda.



"Selepas singgah di Marang dan bermalam di Dungun, konvoi diteruskan ke Kemaman untuk bersama jentera Pemuda dan Puteri di bahagian berkenaan.

"Sepanjang program, kita adakan diskusi, ceramah tertutup dan lawatan ke bilik gerakan pilihan raya Pemuda dan Puteri," katanya pada perlancaran konvoi itu semalam.



Konvoi itu dilancarkan Setiausaha UMNO Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang di perkarangan Bangunan UMNO negeri di Kuala Terengganu. Turut serta, Ketua Puteri UMNO negeri, Nordiana Shafie.



27 January 2012

PM gempur DUN Rhu Rendang, Ladang dan Batu Buruk

Selepas menggempur dan memberi tonik semangat kepada jentera Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan Manir, pertengahan tahun lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, bakal menggempur pula tiga DUN lain yang dikuasai pembangkang.

Tiga DUN berkenaan ialah Rhu Rendang, Batu Buruk dan Ladang, yang akan digempur sempena Program Turung Padang beliau ke Terengganu pada 3 Februari depan, bagi memastikan semua kawasan DUN yang dimenangi pembangkang ditawan semula BN pada pilihan raya umum akan datang.

Kunjungan pemimpin nombor satu negara ke tiga DUN berkenaan kini ditunggu-tunggu oleh pekerja parti BN dan seluruh penduduk di kawasan tersebut.

Mereka pastinya tidak sabar-sabar mendengar amanat dan pesanan daripada Perdana Menteri, serta janji-janji BN bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini, khususnya di kawasan DUN berkaitan.

Kunjungan Dato’ Seri Najib ke DUN Manir dan Bukit Tunggal sebelum ini mendapat sambutan luar dugaan dan mendapat pujian daripada mulut Perdana Menteri sendiri.

Pastinya perkara yang sama akan berlaku di tiga DUN berkenaan yang kini dikuasai Pas yang kini semakin ditolak oleh pengundi di kawasan tersebut.

Dengan semangat yang berkobar di kalangan pemimpin Umno selepas program Pemukiman di Janda Baik, baru-baru ini, kunjungan Perdana Menteri akan menambah ‘tonik’ kepada mereka untuk bekerja dengan lebih gigih bagi merampas semula ketiga-tiga DUN tersebut daripada Pas.




Peneroka Felda terima insentif dari kerajaan

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Seramai 45 warga peneroka Felda Neram Satu telah menerima bayaran insentif tanam semula pokok kelapa sawit daripada kerajaan melalui Lembaga Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) di Dewan Sivik Felda Neram Satu, baru-baru ini.

Kebanyakan peneroka yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas pemberian bantuan itu yang dianggap sebagai keperihatinan kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan hasil pendapatan peneroka Felda.

Seorang peneroka yang ditemui, Ismail Mohamad 65, berkata sumbangan yang diterima kali ini adalah merupakan kumpulan terakhir daripada jumlah keseluruhan lebih 400 peneroka yang terpilih untuk tanam semula.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan khususnya MPOB di atas pemberian skim bantuan sebanyak RM1000 bagi setiap hektar di mana setiap peneroka akan mendapat RM4000 untuk menjalankan program tanam semula ini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkata, para peneroka sepatutnya berterima kasih di atas pemberian insentif itu dan tidak seharusnya menggunakannya bagi tujuan lain yang boleh merugikan peneroka sendiri.

Seorang peneroka lain, Abdul Ghani Ismail 66, berkata pemberian ikhlas kerajaan melalui MPOB itu jelas membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu meningkatkan hasil peneroka dan peneroka tidak perlu membayar balik insentif tersebut.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan ini yang dapat membantu kami menanam semula pokok kelapa sawit yang telah berusia lebih 25 tahun serta tidak mengeluarkan hasil. InsyaAllah dalam masa tiga tahun lagi kami akan dapat menikmati hasil yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Ahli Parlimen Kemaman, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek telah menyampaikan replika cek bernilai RM181, 248.00 kepada wakil peneroka Ismail Mohamad untuk diagihkan kepada semua peneroka yang layak mendapat skim insentif tanam semula itu.







1,000 penduduk dapat kemudahan dewan baru

Oleh: Mohammad Ishak



Penantian lebih 20 tahun oleh penduduk lima kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih untuk mendapatkan sebuah dewan dan kelas Tadika bagi kemudahan komuniti setempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan akhirnya terlaksana.

Pembinaan dewan berharga RM162,000 di Kampung Telok yang dibiayai Kerajaan Negeri dan bantuan Kerajaan Pusat kini memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Telok,Pak Demalik, Pak Wong,Lapang Kotak dan Air Puteh.

Majlis perasmian dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih YB Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusia Mara pagi tadi disertai lebih 1,000 penduduk termasuk Ahli Parlimen Besut, YB Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri.

Dewan dua tingkat itu selain memberi kemudahan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan keraaan (NGO) mengadakan aktiviti ia juga turut menempatkan kelas Tadika Kemas.


Kampung Telok sebelum ini menjadi kubu kuat Pas sudah bertukar arus apabila cawangan parti itu dibubarkan selepas ahli dan penyokong diketuai pemimpin kanan membubarnya dan menyertai UMno pada 2002 menyebabkan pergeraakan parti itu lumpuh.





Sejak itu, kampung tradisional yang dianggap mundur dan tersorok dari arus pembangunan terus mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membina pelbagai kemudahan asas termasuk jalan raya dan masjid.

Idris ketika berucap merasmikan dewan itu berharap, penduduk akan memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan untuk faedah orang ramai.

Katanya, BN akan terus membela nasib rakyat dan Kerajaan Negeri sentiasa member perhatian
kepada rakyat malah pelbagai bantuan yang disediakan tidak ada di tempat lain.




MBKT kutip hasil letak kereta RM3.88 juta setahun

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) berjaya mengutip hasil tempat letak kereta berjumlah RM3.88 juta sepanjang tahun lalu berbanding RM3.71 tahun sebelumnya.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, limpahan kenderaan yang mengunjungi bandar ini memperlihatkan peningkatan kutipan hasil setiap tahun.

Katanya, pada 2009 jabatan berjaya mengutip hasil RM3.32 juta manakala tahun sebelumnya (2008) sebanyak RM2.76.

“Kewujudan banyak premis perniagaan, institusi kewangan dan pusat membeli belah salah satu faktor utama tumpuan orang ramai berkunjung ke bandar terutama pada hujung minggu,” katanya.

Dato’ Haji Adzlan berkata demikian dalam majlis taklimat Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu bersempena keberangkatan Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin ke pejabat MBKT semalam.

Sehingga ini katanya,terdapat 5,839 petak tempat letak kereta termasuklah 3,200 petak tempat letak kereta bermeter, 2,407 petak di 24 medan letak kereta sekitar bandar serta 232 lagi tempat letak kereta mekanikal di Batas Baru.

“Kita juga meletakkan syarat semua bangunan baru yang akan dibina di bandar ini perlu menyediakan parkir yang mencukupi tanpa pengecualian,” katanya.





Dasar baru tanah haram dilaksana

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bakal melaksanakan dasar baru berkaitan pemilikan tanah haram setelah kesemua baki permohonan yang lama diselesaikan menjelang pertengahan bulan depan.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ia membolehkan isu berkenaan tanah haram dapat diuruskan dengan lebih sistematik dan mengelak gejala itu daripada berterusan.

Katanya, sejak tempoh tiga tahun lalu, sebanyak 9,916 kes permohonan haram telah berjaya diselesaikan dengan pencapaian 99.28 peratus.

“Hanya tinggal 18 kes permohonan yang dalam proses penyelesaian. Selepas itu tiada lagi permohonan baru akan diproses.

“ Apabila semua kes ini selesai, kerajaan negeri akan melaksanakan dasar baru yang saya akan maklumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Mengulas lanjut Dato' Seri Ahmad berkata, mengikut pecahan daerah, sebanyak 973 tanah haram di Besut berjaya diselesaikan sementara di Dungun sebanyak 540, Hulu Terengganu (2,794), Kemaman (959), Kuala Terengganu (1,167), Marang (504) dan Setiu, 2,979 kes.

Tambahnya, tahap penyelesaian itu menunjukkan prestasi yang amat baik iaitu semua daerah memberikan komitmen bagi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Dato' Seri Ahmad turut memaklumkan mulai tahun ini, pihaknya akan memastikan tiada lagi penerokaan secara haram dilakukan.

Katanya, jika mendapat maklumat tentang pencerobohan di kawasan baru, pihak berwajib akan mengadakan serbuan dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ataupun lebih mudah akses sahaja ke laman sesawang Google.

“Ia bagi memastikan apa status tanah yang mahu diteroka agar tidak timbul lagi soal tidak tahu mengenai status berkenaan,” tegasnya.