Halaman

16 February 2012

PPAT anjur pesta buku di PDT

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula 23 hingga 29 Februari di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.





Jabatan kesihatan siasat Hamster dikait dengan jangkitan Leptospirosis

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang menjalankan siasatan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pemeliharaan Hamster yang boleh menyebabkan jangkitan Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, jabatan juga sedang menyiasat kesahihan maklumat mengenai seorang pemelihara haiwan mamalia itu yang dipotong tangan dan kakinya bagi menentukan punca sebenar penyakit beliau.

“Leptospirosis sejenis penyakit zoonosis yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian petang semalam.

Sumbangan dana berkenaan berjumlah RM2 juta telah disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, manusia boleh dijangkiti bila terdedah kepada air, makanan atau tanah yang dicemari dengan air kencing haiwan jenis mamalia seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi, kuda dan haiwan mamalia yang lain.

“Antara gejala jangkitan penyakit ini adalah demam yang tinggi, sakit kepala, mengiggil, sakit otot, muntah, penyakit kuning, radang mata, sakit perut, cirit birit, batuk dan ruam di kulit,” katanya.

Beliau seterusnya meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan juga kebersihan persekitaran.

Menurutnya, memandangkan cara jangkitan utama Leptospirosis melalui kulit atau selaput membran, orang ramai mestilah berhati-hati sekiranya ada luka, calar pada kulit, kudis dan sebagainya ketika mengendalikan haiwan peliharaan.

“Bagi mereka yag mempunyai risiko terdedah kepada air yang tercemar hendaklah sentiasa berkasut dan berpakaian sempurna atau sebaiknya pakaian kalis air,” katanya.

Dr. A. Rahman meminta orang ramai segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala penyakit dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat rekreasi dan rawatan awal dengan antibiotik dapat mengelakkan komplikasi dan kematian.




Muzium pamerkan 80 artifak berharga

Oleh: Suriati Ali

“Saya dan kawan-kawan sekolah seronok datang ke muzium kerana dapat tengok secara dekat pelbagai barang lama yang dipamerkan.

“Untung datang ke sini kerana bukan saja dapat tengok malah dapat tambah ilmu kerana setiap apa yang dipamer dicatatkan usia dan asal barang itu diperoleh,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Nilam, Syed Alif Syed Farid.

Adik Syed Alif berkata demikian ketika ditemui Teganukita pada Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.

Sempena pameran yang berlangsung selama enam bulan dan berakhir 14 Ogos itu, senaskah al-Quran bersadur emas berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara 80 artifak yang dipamer kepada pengunjung.

Atrifak berharga lain, termasuk perkakasan yang dihiasi emas dan batu permata, koleksi cop mohor dari pelbagai dinasti, pasu seramik berusia 1,400 tahun, pasu porcelain, jade dari budaya budaya `Hong Sun’ dan kuda hiasan dari dinasti Tang.

Pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat .

Setiap pengunjung dikenankan bayaran tiket RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM25 untuk sekeluarga (2 dewasa 2 kanak-kanak), waktu pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah.

Pengunjung dari Setiu, Khusaini Ahmad, 28, berkata program seumpama ini cukup berharga kepada pengunjung terutama kepada pengkaji dan peminat artifak kerana boleh melihat secara dekat pelbagai seni halus dari dinasti purba Cina.

“Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan kelebihan dan keistimewaan yang terdapat di muzium sepanjang pameran ini berlangsung.

“Orang ramai tidak patut melepaskan peluang mengunjungi pameran ini kerana lebih 80 artifak berharga dipamerkan,” katanya.



Lampu limpah padam memalukan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejadian lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang tiba-tiba terpadam lebih 30 minit ketika perlawanan antara Terengganu dengan Kedah berlangsung malam kelmarin dianggap insiden yang amat memalukan.

“Ini yang saya marah dan perkara ini amat memalukan, sepatutnya pihak bertanggungjawab sama ada MBKT atau PBSNT memaklumkan keadaan sebenar.

“Sampai sekarang tiada pihak datang jumpa saya untuk menjelaskan dan menceritakan keperluan sebenar ataupun beri penjelasan kepada Exco yang berkenaan,” kata beliau sejurus Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (15 Februari).

Katanya, lebih baik perlawanan dijalankan pada waktu siang jika pencahayaan lampu limpah itu gagal memenuhi piawaian ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menteri Besar berkata, masalah itu timbul berikutan kadar pencahayaan yang dikatakan tidak mencukupi terutama untuk pertandinagn Piala AFC yang memerlukan sehingga 1,200 lux.

“Masalah sekarang, kita tidak dapat maklumat sebenar dan dari segi teknikal pihak bertanggungjawab sepatutnya memberitahu perkara ini lebih awal.

“Kata 800 lux sudah cukup dan sekarang tidak cukup balik. Ini sepatutnya sama ada MBKT atau PBSNT beritahulah (tahap pencayaaan yang diperlukan)..senang kita selesai. Kita tidak kisah belanja RM3 juta, RM4 juta..kita pasanglah,” katanya.






15 February 2012

Hospital swasta baru RM200 juta dibina di Batu Buruk

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM200 juta bagi membina sebuah lagi hospital swasta di Batu Buruk bagi menampung kesesakan pesakit di hospital kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pembinaan hospital di bawah TDM bakal menyediakan 150 katil yang akan memberi altenatif kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik dan selesa.

“Kerja-kerja pembinaan dijangka paling lewat dapat dimulakan pada Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dana bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian, Kuala Terengganu, petang ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Haji Anwa Sulaiman dan Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah Tengku Senik.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hospital ini akan dibina di atas tapak kuarters kerajaan yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk dan rumah berkenaan akan dirobohkan bagi membina bangunan hospital berkenaan.

Selain itu kerajaan telah memperuntukkan RM72 juta bagi mengisi Tabung Dana Khas untuk pembangunan kesihatan di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2007 hingga akhir 2010.

Tabung berkenaan dibahagikan kepada dua iaitu menaik taraf perhidmatan perubatan (RM62 juta) dan untuk kebajikan sosial perubatan (RM10 juta).

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan sumbangan RM2 juta untuk Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan negeri kepada Dr. Haji Anwa serta RM20,000 untuk Tabung Kebajikan Perubatan HSNZ yang diterima Pengarah HSNZ, Tengku Ramlah.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM22,088 beserta kerusi roda kepada tiga orang pesakit kronik.




Karnival Generasi Muda Terengganu peluang belia ekspresi diri

Oleh: Aida Abd Rahman

Belia di seluruh negeri ini berpeluang mengekspresikan diri dan mengetengahkan kehendak serta bakat mereka menerusi Karnival Generasi Muda Terengganu Cemerlang 2012 yang akan bemula bulan depan.

Karnival anjuran kerajaan negeri melalui Bahagian Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Remaja Terengganu dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu itu bakal menjelajah ke empat daerah bermula di Kemaman sebelum bergerak ke daerah lain.

Program pertama di Kemaman dijangka pada 6 Mac di Taman Bandar Cukai; manakala keesokannya, 7 Mac di perkarangan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak (Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus).

Manakala pada 13 di Hulu Terengganu yang bakal diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang, sementara lokasi terakhir, 14 Mac di Besut.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Encik Rusli Yusoff, berkata program bertujuan untuk mendekati golongan belia setempat serta mahu mengekalkan hubungan stategik bersama pertubuhan-pertubuhan belia.

“Langkah ini juga diharapkan dapat dilaksanakan bersama belia setempat dengan tujuan memperkasakan belia seluruh Terengganu.

“Program dilaksanakan secara santai dengan memfokuskan kepada kecenderungan dan pilihan belia, sekaligus menyediakan ruang kepada mereka menonjolkan diri secara sihat dan positif,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, program akan bermula jam 10 pagi melibatkan aktiviti berbentuk sukan, selain pameran dan jualan, manakala pada sebelah malam pula akan diadakan persembahan pentas.

Antara karnival sukan seperti futsal, `Street Soccer 3 on 3’, sepak raga, badminton, bola tampar, ping pong, acara basikal fixie dan permainan ekstrem yang lain.

“Pameran peluang kerjaya dan pendidikan, selain pendedahan daripada pelbagai agensi kerajaan yang boleh dimanfaatkan oleh belia,” katanya.

Selain itu, kumpulan muzik pop kreatif tersohor dari Indonesia, Wali Band turut dijemput untuk mengadakan konsert jelajah di empat daerah sempena program itu.





T’Shoppe DB kaut RM100 ribu sebulan

Oleh: Aida Abd Rahman

Ketika ramai memandang rendah keupayaan wanita menguruskan sesebuah premis perniagaan, Adibah Shairah Ahmad menolak persepsi buruk itu apabila berjaya memecah tradisi untuk meraih jualan yang cukup tinggi menerusi kedai rangkaian, T’Shoppe.

Hasil komitmen tinggi dan gigih membolehkan Pengurus Syarikat DB Asba Trading Sdn Bhd yang mengusahakan T’Shoppe Durian Burung, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu itu menjana pendapatan jualan bulanan sekitar RM90,000 hingga RM100,000.

Malah, wanita berusia 29 tahun tanggal 22 April 1983 itu juga berjaya menyahut cabaran dan menolak andaian segelintir pihak yang beranggapan usaha berkenaan mungkin akan berkubur serta hanya mampu bertahan sekerat jalan.



Sate ikan ubah kehidupan Mohd Rashid

Oleh: Suriati Ali

ERTI kemiskinan, kepayahan dan kesusahan, sudah tiada dalam kamus hidup pasangan suami isteri, Mohd Rashid Mohd, 58 dan Rohani Mohd Zain, 54 berikutan kini mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan sate ikan.



Mereka berdua cekal mempertahankan perniagaan yang diusahakan selama 33 tahun itu walaupun pelbagai rintangan dan dugaan dilalui termasuk satu ketika dulu dicemuh masyarakat setempat yang menyatakan apa yang dijual itu `sate kucing’ dan `sate katak’.

Berkat kesabaran, pemilik Sate Ikan Kak Ning itu kini bukan saja mampu membesarkan tujuh orang anak dengan sempurna malah dapat menambah cawangan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji.



Sate ikan Ning yang beralamat di Kampung Bukit Berangan, Tepoh dan Kampung Raja, Chendering mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada puluhan peniaga dan penjaja tempatan.

Sebanyak 100 kilogram ikan selayang dan ikan tambam digunakan bagi menghasilkan 18,000 cucuk sate ikan setiap hari semata-mata mahu memenuhi permintaan pasaran.

Encik Rashid, berkata bukan semudah yang disangka untuk dia dan isteri merasai keselesaan berniaga seperti dikecapi hari ini kerana terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan.

“Rintangan paling sukar adalah menangkis tohmahan masyarakat yang memandang negatif terhadap sate ikan sedangkan bahan yang dihasilkan itu semuanya halal.

“Ejekan, `orang itu jual sate kucing atau sate katak’ masih tergiang-giang di teliga saya ketika menjaja makanan itu di serata kampung dan sekolah lebih 20 tahun lalu dengan menggunakan beca tua ,” katanya.

Walaupun sedih dan cukup terasa, beliau tetap bersabar sambil mendoakan supaya apa yang diusahakan ini mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Sementara itu Rohani yang juga pemilik resipi turun temurun itu berkata, bahan mentah untuk menghasilkan produk itu mudah didapati di sekitar daerah ini.

"Walaupun sudah mempunyai beberapa buah mesin, proses menggaul adunan masih dilakukan secara tradisional kerana kekurangan modal untuk membeli mesin baru.

"Setelah dibentuk menjadi bebola, ia digoreng dengan minyak dan dicucuk pada lidi membentuk sate dan kemudian diagihkan kepada penjual yang boleh disimpan dalam peti sejuk sehingga seminggu," jelasnya.

Jika dahulu katanya, ada yang beranggapan sate ikan adalah resipi untuk 'kelas bawahan' yang dijual di ceruk kampung bagi menggantikan sate ayam dan daging yang harganya lebih mahal tetapi sekarang ia menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat.

"Sekarang produk ini digemari oleh pelbagai peringkat termasuk menjadi hidangan di restoran mewah serta mampu mengembalikan cerita lama zaman persekolahan generasi dewasa," jelasnya.




Al-Quran emas jadi tarikan pengunjung

Dato' Seri Haji Ahmad Said melihat al-Quran bersadur emas berusia lebih 500 tahun yang di pamerkan di Muzium Negeri Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Naskah al-Quran bersadur emas yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China dan bernilai kira-kira RM170 juta menarik minat orang ramai yang mengunjungi Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu.

Atrifak berharga lain yang dipamerkan pada pameran yang berlangsung selama enam bulan iaitu bermula 14 Februari hingga 14 Ogos itu, termasuk perkakasan yang dihiasi emas dan batu permata, koleksi cop mohor dari pelbagai dinasti, pasu seramik berusia 1,400 tahun, pasu porcelain, jade dari budaya budaya `Hong Sun’ dan kuda hiasan dari dinasti Tang.

Timbalan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), Encik Che Azmi Ngah, berkata sebanyak 80 artifak dipamerkan pada pameran yang julung kali diadakan itu semata-mata mahu menarik minat orang ramai dan pelancong asing mengunjungi muzium.

Katanya, artifak al-Quran emas merupakan satu contoh daripada puluhan simbol kesenian Islam yang bernilai jutaan ringgit dari pelbagai dinasti-dinasti China mampu menarik minat orang ramai.

“Pihak kami berusaha menganjurkan pameran seumpama ini kerana dapat membantu pencinta dan pengkaji artifak melihat secara dekat pelbagai jenis ukiran halus dan bentuk-bentuk artifak dari dinasti purba Cina yang asli.

“Selain ingin melahirkan rasa bangga dan menghargai perjuangan orang Islam terdahulu dengan melihat dan menghayati keindahan seni islam sejagat, “ katanya ketika berucap di Majlis perasmian Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu, semalam (14 Februari).

Program yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Pameran pembuka tirai 2012 itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat pengurusan artifak, Topchain Capital Sdn. Bhd. serta Majlis Pengarang dan Sastera Terengganu (Master).

Pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat kita.

Setiap pengunjung dikenankan bayaran tiket RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM25 untuk sekeluarga (2 dewasa 2 kanak-kanak), waktu pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah.


PAS MEMANG PARTI AJARAN SESAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Siri kedua:




TUHAN MAHU KITA BERGADUH- HAJI HADI

Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pernah dalam ucapannya pada 24 September 1980 menyatakan kata-kata “Tuhan Mahu Kita Bergaduh”.

Beliau membaca ayat al-Quran 251 surah al Baqarah dengan kata, "Dan jikalau Tuhan tidak menjadikan manusia ini bergaduh, bermusuh, berkelahi; nescaya akan rosaklah muka bumi".

Ayat cerita Nabi Daud a.s.w. bersama tentera Thalut yang berjaya membunuh Jalut telah ditukar tafsirannya menjadi hukum HARUS BERMUSUH.

Ucapan asal Haji Abd. Hadi ini ada dalam kaset rakaman audio simpanan penulis.

Walau bagaimanapun yang paling dahsyat ialah pada 07 April 1981: Haji Abdul Hadi Awang MENCIPTA HUKUM yang paling dahsyat dan kemudian dicetak menjadi AMANAT HAJI HADI. Maksud hukum itu ialah"LAWAN UMNO/BN MATI SYAHID". Penulis juga ada menyimpan ucapan tersebut.

Kesannyanya sangat besar sehingga membawa kepada Sembahyang Dua Imam dalam masjid yang sama di Kampung Gong Pasir, Besut, Terengganu (Jun-Julai 1982) dan sembahyang Jumaat dua se kampung berjumlah 39 buah qariah seluruh negeri Terengganu, berlarutan hingga akhir tahun sekarang. Tiga tahun kemudian hilang 18 jiwa dalam Peristiwa Berdarah Memali, Baling Kedah 19 Nov., 1985.

Begitulah seterusnya dengan berbagai pendapat lain yang dianggap hukum berbentuk fatwa oleh para pengikut PAS; seperti kata-kata Datuk Nik Aziz, "Calon UMNO diibaratkan lawan Nabi Muhammad" dalam akhbar 15 April 1995.

TUHAN JUGA MENCARUT

Akhbar Berita Minggu 09 April 1995. YAB Perdana Menteri pula pernah mencabar Datuk Nik Ab. Aziz supaya menunjukkan bukti manakah ayat al-Quran yang membenarkan orang Islam mencarut; kerana sebelum ini YAB. Datuk Haji Nik Ab.Aziz pernah berkata, "Tuhan juga mencarut".

KAFIR BERIKAT (BERPAKAT DENGAN BUKAN ISLAM)

Tahun 1963: Dewan Ulamak PAS Kelantan memutuskan hukum "Orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir memerintah negara menjadi kafir". Ayat 28 surah 'Ali-Imran dijadikan hujah.

Sekarang apa jadi bila Pas sendiri bekerjasama berpakat dengan bukan Islam termasuk dengan pihak DAP.

Nik Aziz juga menghina Nabi dengan menyatakan Nabi Muhammad sebelum diangkat menjadi Rasul hanyalah sama sahaja dengan Mat Budak Kampung. Beliau kemudiannya melalui hujah itu menyokong Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang hendak menghapuskan sambutan Maulidul Rasul (kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w).

Sebenarnya banyaklah lagi ucapan dan kata-kata Nik Aziz, seperti boleh berkawan dengan syaitan, Allah juga mencarut dan sebagainya dan tidaklah penulis mahu mengulasnya kerana banyak pihak tahu perkara ini.

MASUK PAS MASUK SYURGA.

Ini banyak dibawa oleh pendokong Pas semasa berkempen, termasuk Ustaz Bunyamin Yaakob yang berucap dan berpantun- wau wau bule, wau bule teraju tigo, pakat pakah bule, pakah bule masuk syurga.

Allahyarham Bunyamin adalah bekas wakil rakyat Pas di Kelantan.

Sebenarnya jelas dan nyata Pas dan pemimpinnya membawa ajaran sesat dengan sebahagian pemaparan bukti di atas. Oleh itu, kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bahawa Pas parti ajaran sesat tidaklah boleh sesiapa pun menafikannya.