Halaman

25 February 2012

Sultan Terengganu berkenan mendengar taklimat Pembangunan Besut



Oleh: Mohammad Ishak


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abiddin mengakhir lawatan rasmi Baginda ke daerah Besut dengan mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah Besut di Pejabat Daerah Besut (PDB), Kampung Raja, pagi tadi.

Ketibaan Baginda di perkarangan PDB disambut wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan daerah Besut serta kakitangan pejabat berkenaan yang menunggu sejak jam 8 pagi untuk melihat wajah Sultan kesayangan rakyat.

Menteri Besar,Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Awang adalah antara pembesar yang hadir sama mendengar taklimat.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, menyampaikan sembah taklimat kepada Baginda Sultan Mizan mengenai pelbagai aspek pembangunan daerah Besut sejak dahulu sehingga sekarang dan akan datang.

Taklimat yang mengambil masa kira-kira satu jam merangkumi sejarah, pembangunan sosial, ekonomi, pelajaran, agama, pertanian, nelayan, pelancongan,keselamatan dan pembangunan insan.

Majlis taklimat itu adalah sesi terakhir bagi lawatan Baginda ke daerah itu selama dua hari sejak Jumaat kelmarin.

Sebelum ini, Baginda Sultan sempat melakukan lawatan ke Desa Ukiran Kayu (DUK), merasmikan masjid Seberang Jertih yang kini dikenali Masjid Ulul Albab, dan menyertai jamuan teh bersama rakyat di Kampung Limbungan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh merakamkan penghargaan terima kasih kepada penduduk daerah Besut yang memberi kerjasama dan sokongan dengan menyambut Baginda pada setiap program yang diadakan di daerah itu semalam dan hari ini.




Mahkamah dengar saman Kerajaan Terengganu terhadap ADUN Batu Buruk, Harakah 23 Julai.

Oleh FAUZI MOHD

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan tiga hari bermula 23 Julai ini untuk
mendengar saman fitnah yang difailkan Kerajaan Terengganu terhadap ADUN Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain berhubung artikel berkaitan bekalan pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan tarikh itu selepas bertemu kedua-dua pihak dalam kamar apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

Peguam Edynoor Hiefnee Razali mewakili plaintif manakala Azhana Mohd Khairudin pula bagi pihak defendan.

Kerajaan Terengganu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang diberi kontrak untuk membekalkan pakaian seragam sekolah dan alat tulis, memfailkan saman itu pada 15 Disember tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan oleh Harakah, lidah rasmi PAS.

Mereka menamakan Dr. Syed Azman, pemilik permit Harakah, Dato’ Mustafa Ali, Ketua Editor, Ahmad Lutfi Othman dan pencetak, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif menyatakan bahawa Syed Azman telah memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?' yang disiarkan dalam Harakah keluaran 11 hingga 13 November 2011.


Tiada tolak ansur, tawar menawar soal akidah – Hasan Ali

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali yang juga Presiden JATI berucap di hadapan kira-kira 6,000 pengunjung pada majlis Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertemakan Selamatkan Aqidah di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi. - Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh FAUZI MOHD

Dato’ Dr. Hasan Ali sekali lagi mengingatkan bahawa umat Islam tidak akan bertolak ansur dalam soal akidah.

Beliau menegaskan, majoriti umat Islam di negara ini masih berpegang pada prinsip bahawa tiada harga atau istilah tawar menawar dalam agenda melindungi akidah umat Islam dan ia melangkaui kepentingan ekonomi dan politik.

Berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang yang menghadiri majlis Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, Batu Buruk hari ini.

Bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu berkata, tiada ruang kompromi dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam.

“Tidak akan ada tukar ganti dalam soal kita mempertahankan akidah umat Islam. Prinsip ini merentasi platform politik, ini bukan isu politik, ini isu kepentingan umat Islam dan perjuangan ini tidak akan pernah berhenti,” katanya yang menjadi pemidato ketiga dalam perhimpunan itu.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengurus Besar (Operasi) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Kapten (B) Dr. Shamsuddin Munir dan Sekritariat Himpun, Mohamed Hafiz Mohd Nordin.


Dato’ Dr. Hasan berkata, gelombang kesedaran mempertahankan akidah umat Islam terutamanya dalam isu murtad semakin meluas, malah turut mendapat perhatian Raja-Raja Melayu yang mahu usaha agresif dilakukan bagi menanganinya.

Beliau berkata, Himpun akan terus menggerakkan usaha agresif pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik untuk mengekang gejala murtad daripada berleluasa.

“Kita tidak pernah berganjak daripada pendirian bahawa negara sudah mempunyai kerangka yang jelas mengenai peraturan penyebaran agama Islam dan agama lain. Ia bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

“Selagi gejala murtad tidak dibendung secara menyeluruh maka kami tidak akan berhenti berhimpun. Kami bersama NGO lain juga akan turun padang untuk memantau sendiri senario permasalahan murtad di setiap negeri,” katanya yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.


LTdL 2012 - TSG mahu baiki kedudukan

Pasukan TSG mahu baiki kedudukan dalam perlumbaan LTdL 2012.

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) bermula sederhana pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, semalam.

Bagaimanapun pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu tetap yakin mereka mampu bangkit pada peringkat seterusnya, sambil menjadikan alasan angin kencang mengganggu rentak kayuhan dalam ujian masa, semalam.

Salah seorang pelumba TSG, Mohd. Shahrul Mat Amin mengakui aksinya pasukan tidak menjadi.

Shahrul mencatat 29 minit, 04.23 saat untuk menduduki tempat ke-108 keseluruhan manakala Mohd. Zamri Salleh muncul pelumba terbaik TSG yang menduduki tempat ke-63 (27:49.06s) diikuti adiknya, Mohd. Harrif ke-71 (28:00.38s).

Sementara itu, pelumba import TSG, Shinichi Fukushimi menduduki tempat ke-76 dengan catatan 28:11.75s, dikuti Mohd. Saufi Mat Senan ke-90 28:31.16s manakala Jang Chan Jae ke-115 (29:31.98s).

TSG sekarang ini menduduki tempat ke-19 keseluruhan manakala pada kedudukan Asia mereka adalah pasukan keenam terbaik daripada 10 pasukan.


LTdL 2012 – Zabriskie ungguli peringkat pertama di Putrajaya

Seorang pelumba pasukan TSG bersaing ujian masa individu di Putrajaya.

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabriskie mengungguli saingan peringkat pertama Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 apabila memenangi perlumbaan ujian masa individu di Putrajaya, semalam.

Pada saingan sejauh 20.3 kilometer itu, Zabrieski mencatat masa 24 minit 34.18 saat untuk mengatasi dua pelumba pasukan Drapac Cycling, Adam Phelan dengan kelebihan satu minit (25:34.48s) dan Darren Lapthorne yang berada di tempat ketiga (25:44.85s).

Dengan kejayaannya itu, pelumba dari California, Amerika Syarikat itu akan memulakan saingan peringkat kedua hari ini dengan memakai Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan LTdL 2012.

“Saya gembira kerana dapat memenangi peringkat pertama perlumbaan ini. Saya anggap kemenangan ini sebagai pembakar semangat apabila saingan sebenar berlangsung di laluan lebuh raya esok (hari ini).

“Saya agak teruja dengan laluan pada peringkat ini dan ia memang sangat mencabar, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang panas.

“Apa yang saya boleh buat ialah terus meningkatkan tahap keyakinan dan cuba berkayuh selaju yang boleh,” jelas Zabrieski pada sidang akhbar selepas perlumbaan semalam.

Dua bekas juara LTdL, Thomas Danielson (Garmin Barracuda) dan Jose Rujano (Androni Giocattoli) masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima manakala pelumba pasukan profesional Astana, Dmitriy Gruzdev dan Alexandr Dyachenko di tempat ketujuh dan kelapan.

Gruzdev bagaimanapun muncul pelumba terbaik kategori Asia dan menyarung Jersi Putih pada perlumbaan peringkat kedua hari ini diikuti rakan sepasukannya Dyachenko di tempat kedua manakala pelumba Tbariz Petrochemical, Behnam Khalili di tempat ketiga.

Seorang lagi pelumba Astana, Alexandre Vinokurov juga gagal menyerlah apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-40 dengan ketinggalan 2:38s, namun dia diramal bangkit mempamer kemampuan sebenarnya pada peringkat kedua hari ini.

Sementara itu, tiada pelumba dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 20 pelumba terbaik pada perlumbaan semalam dengan hanya pelumba Champion System, Muhd. Adiq Hussainie Othman muncul pelumba terbaik dengan menduduki tempat ke-41 di belakang Vinokurov.

Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2012 akan bermula di laluan lebuh raya dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km melibatkan tiga zon pecutan (Salak Tinggi, Port Dickson, Linggi) dan dua zon pendakian (Bukit Pelandok dan Masjid Tanah).


PPAT anjur pesta buku

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dijangka hadir di Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pesta buku itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu bermula semalam hingga 29 Februari di Pusat Dagangan Terengganu (PDT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu.

Lebih 30 pengedar dan pengusaha kedai buku akan mengambil kesempatan mempromosi produk dan judul buku masing- masing dengan anggaran harga serendah RM1 hingga RM50 senaskah.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bersetuju mengadakan program seumpama ini sekurang-kurangnya tiga kali dala tempoh setahun berikutan mendapat sambutan cukup mengalakkan.

“Pada pengalaman lepas, orang ramai termasuk pelajar seakan tidak mahu meninggalkan lokasi pesta buku kerana mereka teruja mendapatkan pelbagai jenis buku yang ditawarkan semurah RM1.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan, membuktikan masyarakat kini sudah mula sedar terhadap kepentingan membaca dan menuntut ilmu,” katanya.



Dana khas RM50 juta laksana PUK

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM50 juta bagi melaksanakan Program Usahawan Kecil (PUK) dinamik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Dato' Seri Idris Jusoh berkata, penyaluran dana khas tersebut diyakini dapat melahirkan usahawan dan penjaja kecil berwibawa dan berjaya.

"UK Dinamik merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil,” katanya .

Turut hadir Pengarah Mara negeri Abdullah Mohamad.

Dato' Seri Haji Idris berkata, program UK Dinamik juga adalah salah satu mekanisme Mara untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan golongan usahawan kecil perlu mempunyai iltizam untuk memajukan perniagaan mereka sendiri





24 February 2012

Stage 1 Ujian masa LTDL PUTRAJAYA

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah





Masjid Kayu Seberang Jertih kini dikenali Masjid Ulul Albab

Oleh: Mohammad Ishak


Masjid Ulul Albab Seberang Jertih

Teka teki apa ganti nama sebenar Masjid Kayu Seberang Jertih kini terjawab apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mengistiharkan nama baru masjid itu ialah Masjid Ulul Albab.

Pengistiharan nama Masjid Ulul Albab dibuat ketika Baginda Sultan merasmikan masjid berkenaan sebelum menyertai solat Jumaat bersama masyarakat Islam sekitar Kampung Seberang Jertih.


Turut serta ialah Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah,Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Khazam Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.


Baginda Sultan Mizan bersalaman dengan rakyat jelata


Sempena keberakatan Baginda juga turut menyampaikan watikah perlantikan imam dan bilal serta jurunikah kepada penjawat berkenaan dari daerah Besut.

Selepas soat Jumaat Baginda bersama pemimpin kerajaan negeri menyartai majis makan tengahari bersama lebih 1,000 jemaah yang hadir mengerjakan solat di masjid berkenaan.

Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dibina pada 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah mula digunakan pada 4 Julai 2011.

Masjid berkenaan dianggap unik kerana pembinaanya menggunakan kayu cengal dan mempunyai reka bentuk menarik berasaskan seni bina ketukanan Melayu yang diadun dengan cirri-ciri Islam kelasik.

Terletak dikawasan strategik antara laluan utama Jertih Kota Bharu dan Kuala Terengganu ia kini menjadi mercu tanda baru kepada perkembangan syiar Islam di daerah Besut


















Sultan Terengganu melawat Desa Ukiran Kayu (DUK) Besut



Oleh: Mohammad Ishak


Kehalusan seni ukiran yang ada di Desa Ukiran Kayu (DUK) Kampung Raja, menarik minat baginda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang memilih tempat itu sebagai detinasi pertama sempena keberangkatan lawatan ke daerah Besut hari ini.

Baginda ditemani Permaisuri Nur Zahirah menghabiskan masa kira-kira sejam berada di pusat itu sambil melawat aktiviti mengukir yang dijalankan oleh peserta di pusat latihan berkenaan.

Turut serta Menteri Besar,Datuk Seri Haji Ahmad Said, Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Wakil Rakyat Daerah Besut serta isteri masing-masing.

Desa Ukiran Kayu (DUK) ditubuhkan pada 12 Ogos 1999 yang pertama di Malaysia melatih golongan remaja yang berminat dalam seni ukiran kayu dan Berjaya melahirkan ramai pengukir muda berbakat.

DUK yang menawarkan kursus kepada belia tempatan yang berminat juga membayar elaun latihan RM450 sebulan selain menyediakan asrama untuk kemudahan pelatih yang tinggal jauh dari pusat itu.

Lawatan Baginda ke DUK mencatat sejarah kerana ia pertama kali dilakukan Sultan Mizan selepas pusat itu beroperasi melahirkan ramai pengukir terkenal di negara ini.

Pembinaan DUK juga satu pengiktirafan kepada pengukir mahir yang tersohor yang kebanyakkannya berada di daerah Besut dan hasi seni mereka banyak terdapat di istana-istana di negara ini dan luar Negara.