Oleh FAUZI MOHD
Pelumba pasukan Garmin Barracuda, David Zabriskie mengungguli saingan peringkat pertama Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 apabila memenangi perlumbaan ujian masa individu di Putrajaya, semalam.
Pada saingan sejauh 20.3 kilometer itu, Zabrieski mencatat masa 24 minit 34.18 saat untuk mengatasi dua pelumba pasukan Drapac Cycling, Adam Phelan dengan kelebihan satu minit (25:34.48s) dan Darren Lapthorne yang berada di tempat ketiga (25:44.85s).
Dengan kejayaannya itu, pelumba dari California, Amerika Syarikat itu akan memulakan saingan peringkat kedua hari ini dengan memakai Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan LTdL 2012.
“Saya gembira kerana dapat memenangi peringkat pertama perlumbaan ini. Saya anggap kemenangan ini sebagai pembakar semangat apabila saingan sebenar berlangsung di laluan lebuh raya esok (hari ini).
“Saya agak teruja dengan laluan pada peringkat ini dan ia memang sangat mencabar, ditambah lagi dengan keadaan cuaca yang panas.
“Apa yang saya boleh buat ialah terus meningkatkan tahap keyakinan dan cuba berkayuh selaju yang boleh,” jelas Zabrieski pada sidang akhbar selepas perlumbaan semalam.
Dua bekas juara LTdL, Thomas Danielson (Garmin Barracuda) dan Jose Rujano (Androni Giocattoli) masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima manakala pelumba pasukan profesional Astana, Dmitriy Gruzdev dan Alexandr Dyachenko di tempat ketujuh dan kelapan.
Gruzdev bagaimanapun muncul pelumba terbaik kategori Asia dan menyarung Jersi Putih pada perlumbaan peringkat kedua hari ini diikuti rakan sepasukannya Dyachenko di tempat kedua manakala pelumba Tbariz Petrochemical, Behnam Khalili di tempat ketiga.
Seorang lagi pelumba Astana, Alexandre Vinokurov juga gagal menyerlah apabila menamatkan perlumbaan di tangga ke-40 dengan ketinggalan 2:38s, namun dia diramal bangkit mempamer kemampuan sebenarnya pada peringkat kedua hari ini.
Sementara itu, tiada pelumba dari Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kedudukan 20 pelumba terbaik pada perlumbaan semalam dengan hanya pelumba Champion System, Muhd. Adiq Hussainie Othman muncul pelumba terbaik dengan menduduki tempat ke-41 di belakang Vinokurov.
Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2012 akan bermula di laluan lebuh raya dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151km melibatkan tiga zon pecutan (Salak Tinggi, Port Dickson, Linggi) dan dua zon pendakian (Bukit Pelandok dan Masjid Tanah).