Pesta Buku Terengganu 2012 berjaya menghimpunkan 59 penerbit dari seluruh negara dalam usaha memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan melalui pelbagai bahan bacaan serta berpeluang memiliki terbitan terbaru yang berada di pasaran.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, kerajaan menaruh harapan tinggi agar program ini mampu memupuk tabiat suka membaca sebagai satu kegiatan yang sihat dan berfaedah.
“21 orang penulis tempatan turut terpilih untuk melancarkan buku keluaran terbaru mereka,” katanya di majlis perasmian Pesta Buku Negeri Terengganu 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.
Katanya, sebanyak 88 buah booth mengambil bahagian menjalankan aktiviti jualan buku-buku terbitan syarikat masing-masing pada pesta yang berlangsung selama tujuh hari bermula 23 Mac.
“Bukan setakat menjual buku, bahkan diselitkan dengan aktiviti sampingan seperti kuiz, pameran karya tersohor, pertandingan melukis,mewarna, jigsaw puzzle, bicara karya dan inforace serta banyak lagi,” katanya.
Dato’ Haji Wan Ahamad menyeru orang ramai tidak melepaskan peluang berkunjung ke pesta tahun ini yang lebih meriah termasuk menyediakan slot sepetang bersama pengarang novel Ombak Rindu, Puan Fauziah Ashari dan riang ria bersama Nur Fathiah (BoboiBoy).
Penulis kelahiran Terengganu kemudiannya menerima cenderahati tanda penghargaan kerajaan negeri di atas sumbangan mengharumkan nama negeri melalui ketajaman mata pena masing-masing.