Masyarat hari ini mempunyai banyak altenatif lain untuk perolehan maklumat dan ilmu pengetahuan termasuk menerusi buku elektronik dan artikel jurnal antarabangsa yang boleh dicapai melalui internet.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata. tidak dinafikan dengan hanya melayari internet pelbagai maklumat yang dikehendaki boleh didapati tapi dalam masa sama buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan ketika ini.
Menteri Besar berkata demikian di majlis perasmian Pesta Buku Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Buku, Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) Hajah Nor Akmal Abdul Fatah.
Katanya, senario ini jelas menunjukkan corak pembacaan masyarakat tidak lagi tertumpu kepada buku semata-mata namun dengan membaca juga ilmu dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan membentuk generasi berketrampilan.
Tambahnya, sejak lebih dua dekad, peranan buku diangkat sebagai wadah penting membentuk kebebasan manusia berfikir dan telah menjadi senjata yang ampuh dalam mengangkat martabat manusia ke tahap lebih tinggi.
“Buku umpama senjata rahsia yang membantu kita sukses dalam semua urusan sama ada dalam meningkatkan perniagaan, kejayaan politik, mempengaruhi organisasi, membina keluarga bahagia serta mencipta kejayaan dan mengenali keupayaan diri,” katanya.
Sehubungan itu, amalan membaca dapat mengasah fikiran supaya bercambah serta mempunyai imaginasi tinggi berdasarkan buku yang dibaca manakala orang yang kurang membaca akan ketinggalan dalam segala bidang.
Beliau mengharapkan, pesta buku dengan tema ‘Temanku Buku’ yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini dapat memupuk budaya membaca dan membina masyarakat yang cintakan ilmu.