Halaman

22 February 2012

Kes denggi menurun 14.8 peratus

Oleh; Esah Abdullah

Bebanan penyakit semasa berkaitan denggi berlaku penurunan sebanyak 14.8 peratus pada lima minggu pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A.Rahman Mokhtar berkata, pada minggu pertama awal tahun ia meningkat sehingga 46 kes berbanding sasaran yang ditetapkan tidak melebih 16 kes seminggu.

“Namun ia berjaya dikurangkan melalui langkah pencegahan termasuk mengadakan pemeriksaan lebih kerap terhadap premis perniagaan terutama di pusat bandar,” katanya.

Menurutnya, daripada 16,954 premis yang diperiksa sebanyak 132 didapati positif (08 peratus) dan daripada jumlah berkenaan 31 kompaun telah dikeluarkan.

Selain itu katanya, pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Kesihatan negeri termasuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan kawalan serta pencegahan bagi memastikan masalah ini dapat ditangani.

Beliau menasihatkan orang ramai dan pemilik kedai makan memberi keutamaan terhadap kebersihan dan elak memasuki premis yang tidak mengamalkan kebersihan.

Dalam perkembangan lain katanya, negeri ini tidak ketinggalan jauh dari segi kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang ditawarkan dari negeri lain yang lebih maju.

“Kita telah ada pakar perubatan yang mencukupi bagi memberi rawatan yang optimum kepada pesakit, malah peralatan canggih yang ada di hospital termasuk sumbangan kerajaan negeri mampu memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat di negeri ini,” katanya.