Halaman

23 February 2012

Pertandingan bola jaring dan futsal warnai karnival wanita muda

Oleh; Esah Abdullah

Kira-kira 40 pasukan bola jaring dan 10 pasuan futsal bakal merentap dalam Karnival Sukan Generasi Wanita Muda Terengganu Cemerlang 2012 yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Belia dan Sukan Kuala Terengganu (KBSKT) mulai Jumaat depan (2 Mac).

Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kuala Terengganu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, setakat ini 40 pasukan mewakili Pergerakan Puteri di cawangan-cawangan dalam Parlimen Kuala Terengganu telah mendaftar.

Penyertaan membabitkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Buruk, Wakaf Mempelam, Ladang dan Bandar yang diadakan serentak di KBSKT.

“Beberapa institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (Ngo) yang terdapat dalam Parlimen Kuala Terengganu juga menyatakan kesediaan menghantar pasukan masing-masing tetapi belum pasti jumlahnya,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Katanya, pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 (johan) RM2,000 (naib johan) RM1,000 (ketiga) serta RM700 (keempat) dan setiap penyertai menerima saguhati RM100.

Menurut Puan Nordiana di samping pertandingan bola jaring dan futsal karnival dimeriahkan dengan beberapa acara sukan dan mewarna untuk pelajar sekolah rendah (100 orang) dan kanak-kanak Tabika (100 orang).

“Program lain yang disediakan ialah pemeriksaan kesihatan percuma, perkhidmatan bertindik dan kaunter daftar pemilih baru akan dibuka untuk memberi peluang mereka membuat pendaftaran sebagai pengundi,” katanya.

Puan Nordiana seterusnya menjelaskan karnival seumpama ini turut diadakan di lapan Parlimen seluruh negeri dengan tarikh berlainan.