Halaman

24 February 2012

TATiUC wujud skim latih pembantu rumah warga tempatan

Oleh FAUZI MOHD

Kolej Universiti Tati (TATiUC) sedang menyediakan modul khas bagi melatih tenaga mahir dalam bidang pengurusan rumah tangga, kata Rektornya, Dr. Mohamad Rozailan Mamat.

Menurutnya, inisiatif itu bagi mengurangkan kebergantungan rakyat negara ini kepada perkhidmatan pembantu rumah dari negara asing.

Beliau berkata, modul yang dipersetujui Kementerian Sumber Manusia itu memberi fokus kepada aspek teknikal dan keselamatan dalam pengurusan rumah tangga kepada bakal pelatih.

"Sehingga kini, kami menerima permohonan yang sangat menggalakkan, terutama dari negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil kepada 170 pelajar TATiUC bagi sesi 2009-2011 di Kemaman, semalam.

Dengan wujudnya skim latihan itu katanya, Malaysia akan mempunyai tenaga mahir yang terlatih dalam bidang pengurusan rumahtangga, sekaligus mengurangkan pengambilan pekerja asing.