Oleh FAUZI MOHD
Dato’ Dr. Hasan Ali sekali lagi mengingatkan bahawa umat Islam tidak akan bertolak ansur dalam soal akidah.
Beliau menegaskan, majoriti umat Islam di negara ini masih berpegang pada prinsip bahawa tiada harga atau istilah tawar menawar dalam agenda melindungi akidah umat Islam dan ia melangkaui kepentingan ekonomi dan politik.
Berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang yang menghadiri majlis Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri, Batu Buruk hari ini.
“Tidak akan ada tukar ganti dalam soal kita mempertahankan akidah umat Islam. Prinsip ini merentasi platform politik, ini bukan isu politik, ini isu kepentingan umat Islam dan perjuangan ini tidak akan pernah berhenti,” katanya yang menjadi pemidato ketiga dalam perhimpunan itu.
Dato’ Dr. Hasan berkata, gelombang kesedaran mempertahankan akidah umat Islam terutamanya dalam isu murtad semakin meluas, malah turut mendapat perhatian Raja-Raja Melayu yang mahu usaha agresif dilakukan bagi menanganinya.
Beliau berkata, Himpun akan terus menggerakkan usaha agresif pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti-parti politik untuk mengekang gejala murtad daripada berleluasa.
“Kita tidak pernah berganjak daripada pendirian bahawa negara sudah mempunyai kerangka yang jelas mengenai peraturan penyebaran agama Islam dan agama lain. Ia bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
“Selagi gejala murtad tidak dibendung secara menyeluruh maka kami tidak akan berhenti berhimpun. Kami bersama NGO lain juga akan turun padang untuk memantau sendiri senario permasalahan murtad di setiap negeri,” katanya yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.
