Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

22 February 2012

YPU sedia skim pinjaman galak usahawan baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) terutama dalam aspek penyediaan skim pembiayaan dan pinjaman mampu menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Sehingga kini, RM11.11 juta sudah dibelanjakan bagi melaksanakan skim berkenaan yang memberi manfaat kepada 1,915 usahawan seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata skim pembiayaan yang disediakan YPU merangkumi Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Skim Pinjaman Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Khusus yang melibatkan Skim Pinjaman Flagship serta Skim Pinjaman Bas Henti-Henti.

Katanya, SPTF mula dilaksanakan sejak Mac 2000 menyediakan pembiayaan berasaskan dua prinsip utama, iaitu Al-Murabahah dan Al-Ijarah yang berjumlah RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 48 bulan.

Manakala SPK merupakan salah satu kemudahan untuk membantu usahawan tempatan memperkembangkan lagi perniagaannya dengan pembiayaan sehingga RM 5,000 berasaskan prinsip Al-Qardh Al-Hasan.

“Skim Sahabat Penjaja Melayu pula menyalurkan pinjaman modal tambahan kepada penjaja dan peniaga kecil Melayu di Terengganu sehingga RM2,000 yang juga menggunakan prinsip Al-Qardh Al-Hasan serta mengambil tempoh bayaran balik 15 bulan,” katanya.

Selain itu, Skim Bantuan Pembangunan Produk juga disediakan bagi membantu usahawan tempatan untuk meningkatkan kualiti serta pasaran usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan supaya lebih berdaya saing dan setanding di pasaran tempatan mahupun di pasaran global.
Malah, SBPP juga boleh membantu dari aspek meringankan kos penyediaan dan peningkatan kualiti produk.

Dalam pada itu, bukan hanya kerajaan negeri,Kerajaan Pusat turut menyediakan peluang itu kepada usahawan yang baru mahu berjinak dalam perniagaan.

Sebagai alternatif, mereka juga digalakkan mendapat bantuan daripada Skim Dana Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana patuh syariah yang diwujudkan pada tahun ini serta dikendalikan bank-bank Islam terpilih seperti yang diumumkan dalam Bajet Negara 2012 baru-baru ini.