Oleh: Mohammad Ishak
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abiddin mengakhir lawatan rasmi Baginda ke daerah Besut dengan mendengar taklimat mengenai pembangunan daerah Besut di Pejabat Daerah Besut (PDB), Kampung Raja, pagi tadi.
Ketibaan Baginda di perkarangan PDB disambut wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan daerah Besut serta kakitangan pejabat berkenaan yang menunggu sejak jam 8 pagi untuk melihat wajah Sultan kesayangan rakyat.
Menteri Besar,Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Haji Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Awang adalah antara pembesar yang hadir sama mendengar taklimat.
Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, menyampaikan sembah taklimat kepada Baginda Sultan Mizan mengenai pelbagai aspek pembangunan daerah Besut sejak dahulu sehingga sekarang dan akan datang.
Taklimat yang mengambil masa kira-kira satu jam merangkumi sejarah, pembangunan sosial, ekonomi, pelajaran, agama, pertanian, nelayan, pelancongan,keselamatan dan pembangunan insan.
Majlis taklimat itu adalah sesi terakhir bagi lawatan Baginda ke daerah itu selama dua hari sejak Jumaat kelmarin.
Sebelum ini, Baginda Sultan sempat melakukan lawatan ke Desa Ukiran Kayu (DUK), merasmikan masjid Seberang Jertih yang kini dikenali Masjid Ulul Albab, dan menyertai jamuan teh bersama rakyat di Kampung Limbungan.