Halaman

22 February 2012

Bangkok jadi pusat latihan sepak takraw

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia ke-15 yang akan berlangsung di Kuantan pada Jun ini, pasukan sepak takraw negeri Terengganu memilih Bangkok sebagai pusat latihan dan pendedahan kepada pemainnya sebelum menyertai temasya itu nanti.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Haji Mohd Shapian Ali, berkata latihan bagi 18 pemain dalam skuad itu yang bermula 14 Februari lepas dan bakal berakhir Ahad ini.

Beliau berkata tujuan PSTNT menghantar pemain-pemain berlatih di Bangkok ialah untuk memberi pendedahan serta mempelajari teknik permainan khususnya servis.

"Thailang terkenal kerana memiliki rmai pemain bertaraf dunia. Kita perlu banyak belajar dari mereka supaya dapat memperbaiki kemahiran, prestasi dan mencapai sasaran kita,” katanya.

Haji Mohd Shapian berkata temasya kali ini, Terengganu mensasarkan dua pingat emas iaitu dalam acara berpasukan dan beregu.

Manakala pada Sukma tahun lalu, pasukan itu berjaya menggondol emas berpasukan.