Halaman

24 February 2012

Program Kayuhan Lasak galak siswa gaya hidup sihat

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Kayuhan Lasak dan `Fixie East Coast Eco Challenge’ dilaksanakan bagi menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi terbabit dalam sukan berbasikal sebagai sebahagian cara mempromosi cara hidup sihat serta cergas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Encik Amir Md Noor, berkata program ini melibatkan kayuhan basikal ‘ Mountain Bike’ sejauh 25 kilometer (KM)melibatkan 11 KM ‘offroad’ meliputi kawasan pendakian lereng bukit dan merentasi kawasan perlombongan emas terkenal di Terengganu.

“Peserta mendaki sehingga ke puncak ketinggian 181 kaki dari aras laut yang sudah pasti menguji tahap stamina peserta ke tahap maksimun. Laluan turut melalui anak sungai yang kecil serta mencabar kebolehan peserta kayuhan dalam mengendalikan basikal masing-masing.

“ Program ini merupakan pengajuran terbesar yang pernah diadakan di Terengganu sempena Kempen Bulan Berbasikal Terengganu 2012,” katanya di majlis Perasmian Kolaborasi Bersama Industri Petrokimia, Minyak dan Gas serta Penutup Kayuhan Lasak dan Fixie East Coast Eco Challenge (ECEC), di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, semalam (23 Februari).

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Encik Mohd Khairi Abdul Malik dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Encik Mohd Rohimi Yusof.

Katanya, program juga bertujuan merancang dan mewujudkan kumpulan siswa dan belia sebagai pemangkin kepada pembangunan negara dan agen perpaduan dalam merealisasikan agenda 1Malaysia.

Beliau berkata, aktiviti itu turut membantu kerajaan mempromosi sukan berbasikal sebagai satu sukan utama bagi Terengganu sempena bulan berbasikal peringkat negeri.

Seramai 271 peserta melibatkan (158 penduduk sekitar), institusi pengajian tinggi (IPT) Terengganu (47 pelajar),Kolej Komuniti Wilayah Timur (30 pelajar) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom) 36 pelajar.