Halaman

23 February 2012

Kolaborasi strategik Kolej Komuniti hasil 300 tenaga kerja kemahiran tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin (pelatih)

Kolej Komuniti berjaya menghasilkan kira-kira 300 tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi program kolaborasi strategik dengan syarikat industri petrokimia, minyak dan gas sejak diperkenalkan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 81 graduan Kolej Komuniti Zon Timur melibatkan Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan Kuantan dalam bidang seni bina, teknologi binaan dan elektrik tamat menyertai program berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi, Encik Amir Md Noor, berkata kolaborasi strategik secara berterusan bersama industri berimpak tinggi yang memasuki fasa ketiga itu memerlukan graduan menjalani latihan di syarikat terpilih sepanjang dua bulan sebelum mendapat tawaran pekerjaan.

Syarikat yang memberi kerjasama bagi menjayakan program itu termasuk Petronas gas Bhd, Kencana Petroleum Berhad, Optimal Chemical (M) Berhad; Hyundai-PFCE Consortium; Kaefer (M) Sdn Bhd; B.B Tech Services Sdn Bhd; Mazlan Engineering Services Sdn Bhd dan SF Scaffold Resources Sdn Bhd.

“Program ini juga mendapat kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Terengganu dalam mewujudkan kolaborasi industri di sini.

“Pelajar kolej berkenaan dilatih syarikat terbabit dan mereka mendapat sijil untuk memulakan pekerjaan dan diberi tangga gaji awal antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan. Jadi, ia membuktikan program yang disediakan dapat membantu belia yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang ini dengan menyertainya melalui78 Kolej Komuniti, masing-masing 50 (Kolej Komuniti induk) dan 28 Kolej Komuniti cawangan,” katanya di majlis Perasmian Kolaborasi Bersama Industri Petrokimia, Minyak dan Gas serta Penutup Kayuhan Lasak dan Fixie East Coast Eco Challenge (ECEC), di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Encik Mohd Khairi Abdul Malik dan Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Encik Mohd Rohimi Yusof.

Beliau berkata, program kolaborasi itu juga dapat memenuhi aspirasi pelan transformasi kerajaan ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

“Pada masa yang sama, ia juga membantu secara terancang dan berterusan pembekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada industri yang beroperasi di Wilayah Pembangunan Ekonomi Timur (ECER),” katanya.

Dalam majlis itu juga, lapan syarikat terlibat menerima sijil kolaborasi, manakala 19 pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan Kuantan menerima Pasport Keselamatan Minyak dan Gas (OGSP) dan surat tawaran pekerjaan daripada syarikat terbabit.