Halaman

10 March 2012

Nelayan diminta sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited dalam usaha membela nasib nelayan tempatan, khususnya di segi menyediakan bantuan jangka pendek dan jangka panjang, bagi mengubah nasib mereka di masa depan.

Sehubungan itu, nelayan di negeri ini diminta supaya memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN kerana hanya parti itu saja yang mampu membantu dan mengubah nasib masa depan golongan tersebut.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi bantuan jangka pendek termasuk dana khas Hari Raya, Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan pakaian sekolah dan pelbagai bantuan lain, semua nelayan di negeri ini dipilih sebagai penerima.

“Kerajaan tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menghulurkan bantuan kepada golongan nelayan, semua dapat tidak kira Pas atau Umn kita beri semua,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Menteri Bersama Bersama Nelayan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, petang semalam.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato’ Mohamed Awang Tera dan YB Haji Asha’ari Idris dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat, Haji Roshali Taha, hadir sama.

Menteri Besar berkata, bagi cadangan jangka panjang pula kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan untuk persekolahan anak-anak nelayan sejak dari sekolah rendah, menengah hingga pusat pengajian tinggi.

“Kita mahu anak nelayan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dan menyandang jawatan tinggi di sektor awam atau swasta bagi mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.

Beliau meminta nelayan supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji pembangkang yang belum tentu mampu mentadbir negara jika diberi peluang berbuat demikian.



Parti Pas menyesatkan umat Islam


Oleh: Mohammad Ishak

Keghairan pemimpin Pas untuk melangkah ke Puterajaya bersama rakan dalam Pakatan Rakyat menyebabknan perjuangan sebenar parti itu sudah hilang matlamat sebenar untuk menegakkan Islam seperti ia mula ditubuhkan.

Malah, tuduhan kepada orang Umno yang bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) sebagai kafir juga kini terkena kepada tubuh badan pemimpin Pas apabila mereka turut berkongsi dengan orang Cina dan India dalam Pakatan Rakyat (PR)

“Inilah bezanya perjuangan Pas dulu dan sekarang menyebakan banyak akidah terpesong dan memang layak meleberkan Pas sebagai Parti Ajaran Sesat,” kata Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong.

Berucap pada ceramah dan penerangan Isu-Isu Semasa di Peti Undi Kampung Tok Raja, dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, malam tadi Haji Shamsuddin berkata banyak perkara bertentangan dengan ajaran Islam kini dihalalkan oleh Pas kerana berkepentingan poilitik mereka.

Hadir sama pada ceramah itu ialah Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih dan penceramah bebas dari Kelantan, Ustaz Nik Zulkifli Tiew.

Katanya, sebab itu ada Tok Guru Pondok di Kelantan dengan jelas mengingatkan masyarakat Islam yang menyokong perjuangan Pas adalah berdosa kerana tindak tanduk pemimpin parti itu yang banyak merosakkan akidah umat Islam.

Menurutnya, perjuangan Pas yang sudah tersasar dari landasan sebenar menyebabkan rakyat sudah bosan dan akan menolak Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Beliau berkata, pemimpin Umno dan parti keramat orang Melayu itu terbukti banyak berbakti dan berjasa kepada rakyat termasuk orang Pas sendiri yang mendapat banyak faedah hasil daripada pemerintahan BN.












Isteri MB rasmi Kempori

Oleh; Esah Abdullah

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud akan merasmikan majlis penutup Perkhemahan Persatuan Pandu Puteri (Kempori) Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) dan Perasmian Mesyuarat Agung persatuan itu bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin pukul 11 pagi esok.

Perkhemahan tahunan yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu menghimpunkan 600 peserta dari sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Ketua Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor berkata, penglibatan ahli Tunas Puteri dalam perkhemahan tahun ini merupakan kali pertama diadakan sebagai pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah kerana perkhemahan sebelumnya hanya membabitkan pelajar dari sekolah menengah sahaja,” katanya kepada Teganukita.

“Sepanjang perkhemahan pelbagai aktiviti diadakan seperti ceramah agama, motivasi, ujian lencana kecekapan pandu puteri, ujian sijil pertolongan cemas dan ujian sijil juru masak khusus guru pengiring untuk pengiktirafan sijil kejurulatihan turut diadakan flying fox dan memanah,” katanya.

Menurutnya, sempena hari peringatan persatuan tahun ini bertemakan ‘selamatkan bumi kita’ satu program gotong royong bersih pantai sejauh satu kilometer akan diadakan.





Pulau Petang saji keindahan

Oleh: Suriati Ali

Pertama kali menjejak kaki di Pulau Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terenggganu pasti menjanjikan pengalaman yang cukup indah dan menarik buat pengunjung `dek’ tarikan panorama menghijau dan udara yang menyegarkan.

Suasana itu membuatkan pelancong seakan terpanggil untuk mengunjunginya buat kali kedua supaya setiap keindahan dan kemudahan yang terdapat di lokasi itu dapat dimanfaat sepenuhnya.

Perjalanan menaiki bot laju ke Pulau Petang yang mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 minit bagaikan tidak terasa berikutan setiap detik pergerakan pengunjung disajikan pemandangan yang cukup indah dengan kicauan pelbagai jenis unggas, deretan pokok bakau dan air sungai yang jernih.

Sebaik tiba di pulau yang berkeluasan 9.35 hektar itu, pemandangan anda pasti tertarik untuk melihat puluhan gambar dan beberapa koleksi barangan berharga yang dipamerkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di bangunan khas kaki lima pulau itu.

Pelbagai aktiviti menarik boleh diikuti pengunjung setiap kali singgah, antaranya memancing, merendah hutan, berkhemah, menyusuri sungai, mendaki gunung, berkayak dan `flying fox’.

Jika anda ingin berehat, Petang Island Resort ada menyediakan beberapa kemudahan seperti:- ,

Chalet eksekutif- rumah kayu dua tingkat, dilengkapi peralatan moden, direka dan dihiasi mirip kediaman sendiri.

Chalet biasa- menempatkan ruang tidur berkembar dan kemudahan bilik air yang selesa.
Penginapan asrama- sesuai bagi mereka yang datang secara berkumpulan atau rakan persatuan.

Bahtera Petang- penginapan terapung yang cukup unik, dilengkapi dua bilik tidur dan ruang tamu. `Deck’ di tingkat atas sesuai untuk majlis keraian dan jamuan ringan.
Bagaimana ke sana:-

Jika dari Kuala Lumpur anda perlu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sehingga ke Kuantan- Jerangau Jabor dan seterusnya ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.



09 March 2012

Sokongan ibu bapa bantu sekolah mencapai kejayaan sekolah


Muhamad Pehimi meneliti slip keputusan peperiksaan Siti Aisyah

Oleh: Mohammad Ishak


Kerjasama ibu bapa memmberi kerjasama dan sokongan kepada program pendidikan yang dilaksanakan di sekolah mampu menyumbang kepada kejayaan sesebuah sekolah.

Selain itu, tanggungjawab guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga menjadi faktor utama untuk melahirkan pelajar cemerlang dan sekolah terbaik terutama dalam peperiksaan setiap tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, berkata perkara itu dibuktikan oleh ibu bapa di daerah Besut yag sentiasa memberi kerjasama dan membantu pentadbir sekolah melaksanakan pelabagai program untuk pelajar.

Muhammad Pehimi yang juga pengerusi PIBG Sekolah Menengah Agama Maarif,Kampung Raja, Besut, berkata demikian ketika merujuk keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini apabila pelajar sekolah itu salah seorang yang diumumkan pelajar terbaik di Terengganu.

Selain itu, Sekolah Menangah Kebangsaan Putera,Darau, menjadi sekolah terbaik peringkat Negeri Terengganu dalam peperksaan berkenaan.

Beliau yang bangga dengan kemunculan pelajar itu, Siiti Aisyah Syahirah Azman,19, turut menemui pelajar berkenaan untuk menyampaikan ucapan tahniah dan memberi sumbangan peribadi di sekolah berkenaan.

“Kejayaan Siti Aisyah bukan sahaja menjadi kebangsaan dirinya serta keluarga malah pihak sekolah, guru,PIBG dan penduduk Besut turut berkongsi kegembiraan,” katanya.

Beliau berharap, pelajar daerah Besut terus mewarnai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.


PKR, Pas tidak mungkin sepakat

Oleh; Esah Abdullah

“Belum tentu dapat, apa yang dikatakan tu,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas mengenai hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di 14 kawasan di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU-13) nanti.

“Itu yang dia umum, belum tentu lagi Pas setuju, saya dengar Pas hanya akan beri empat kawasan saja kepada PKR untuk letakkan calon mereka,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman.

Minggu lalu, PKR Terengganu mengumumkan hasrat untuk bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen dalam PRU13 nanti.

Pengerusinya, Encik Azan Ismail berkata, hasrat tersebut telah disepakati di peringkat negeri telah pun disuarakan ke peringkat pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang dijangka ‘memurnikan’ keputusan muktamad sebelum 15 Mac ini.

Menurut Dato’ Seri haji Ahmad,beliau tidak pelik bila dengar hasrat parti PKR itu dan lebih tidak pelik jika Pas juga berkeras tidak memberi laluan kepada PKR untuk bertanding lebih banyak kerusi di negeri ini.

Mengenai tarikh PRU13, beliau juga tidak tahu bila, kerana Perdana Menteri dan Timbalannya tidak pernah membayangkan apa-apa ketika berkunjung ke negeri ini.

“Yang jelas, semakin hari kita semakin dekat dengan tarikh pilihanraya, itu saja dan tempoh tamat Parlimen ialah pada Mac 2013,” katanya.

Beliau kemudiannya mengakui BN sudah bersedia untuk menghadapi PRU13 dan sesetengah kawasan sudah ada yang buka bilik gerakan masing-masing.




JKNT tangani masalah denggi

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memandang serius peningkatan kes denggi di negeri ini walaupun tiada kes kematian dilaporkan.

Peningkatan kes berlaku di empat daerah iaitu Setiu yang bertambah lima kes diikuti Hulu Terengganu (lima kes), Kemaman (tiga kes) dan Dungun (tiga kes).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman memberitahu, ketika ini sembilan lokaliti berlaku wabak itu hanya dikesan di daerah ini dengan tiga daripadanya masih aktif iaitu enam kes di Jalan Sekolah Kebangsaan Cendering dan Kampung Raja Cendering serta Taman Tok Jembal masing-masing dua kes.

''Secara keseluruhannya kes denggi di seluruh negeri mencatatkan penurunan sebanyak 17 kes (8.1 peratus) iaitu 193 kes dari Januari hingga 4 Mac lalu berbanding 210 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk tahun ini, jelasnya, 176 kes adalah demam denggi manakala 17 kes demam denggi berdarah dilaporkan berbanding 161 kes demam denggi dan 49 kes demam denggi berdarah tahun lalu.

"Dari segi majoriti, 87 kes (15 peratus) berlaku di daerah Kuala Terengganu disusuli Dungun (29 kes), Besut (21 kes), Kemaman (21 kes), Hulu Terengganu (15 kes), Setiu (11 kes) dan Marang (sembilan kes)," katanya.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Anwa berkata, pihaknya telah memeriksa 28,225 buah premis bagi membasmi pembiakan jentik nyamuk aedes.

Daripada jumlah itu, jelasnya, 208 premis didapati positif membiak jentik-jentik aedes dan setiap premis tersebut dikompaun RM500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (pindaan 2000).

"Nilai kompaun yang kita keluarkan adalah RM104,000 selain 1,869 amaran atau notis pembersihan juga dikeluarkan ke atas premis yang tidak menjaga kebersihan," katanya.


LMNT aktif anjur program

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) antara agensi kerajaan yang aktif menganjurkan aktiviti bertujuan memupuk semangat pelancong cintakan seni dan warisan Terengganu.

Pelbagai aktiviti tahunan anjuran agensi kerajaan dan swasta berupaya menarik minat jutaan pelancong luar dan tempatan berkunjung ke negeri ini.

Terbaru, Pertandingan Mewarna Warisan anjuran LMNT pada 31 Mac nanti antara alternatif untuk tujuan sama selain dapat mencungkil bakat masyarakat terutama peminat seni lukis.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata pertandingan itu menjadi strategi untuk menggalakkan pelancong domestik datang ke Terengganu seterusnya melawat muzium negeri.

“Pertandingan dianjurkan ini, termasuk dalam 10 aktiviti tetap tahunan yang dianjurkan agensi kerajaan itu.

“Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri bakal menyertainya. Berdasarkan sambutan menggalakkan dan meningkat setiap tahun itu, muzium negeri bersetuju meneruskan pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, melalui pertandingan yang dianjurkan itu pihak muzium secara tidak langsung dapat membantu menggiatkan karyawan seni yang selama ini ketandusan aktiviti selain dapat menambah koleksi lukisan.


Terengganu tumpuan utama pelabur asing

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin

Terengganu muncul sebagai negeri yang menerima pelaburan asing paling besar daripada sembilan projek berimpak tinggi sepertimana yang diumumkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Kita menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu.

"Alhamdulilah, Terengganu terus menjadi perhatian pelabur asing untuk melabur di negeri ini dan kita bersedia membuka lebih banyak kawasan projek akuakultur pada masa depan, “ kata Menteri Besar, dato’ Seri Haji Ahmad Said, baru-baru ini.

Projek di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) Wilayah Ekonomi Pantai Timur itu turut membuka banyak pelaburan baru di semua negeri di wilayah terbabit, selain bakal meningkatkan lagi aktiviti ekonomi berasaskan sumber semula jadi.


Pada masa yang sama, pembangunan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang kemajuan dan penglibatan syarikat tempatan dalam pelaburan itu.

Menurut satu kenyataan kepada media, sembilan pelaburan baru bernilai RM9.04 bilion dalam suku pertama tahun ini membabitkan Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Jumlah pelaburan melibatkan 12 projek yang mampu menjana hampir 20,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dalam ECER, di samping menyumbang anggaran 6 billion ringgit kepada pendapatan negara kasar (GNI) menjelang 2020.

Untuk permulaan, sembilan projek melibatkan dua projek bernilai 5.5 bilion ringgit di Mersing, johor; lima projek di Pahang berjumlah 2 bilion ringgit dan masing-masing satu projek bernilai 1 bilion ringgit di Terengganu dan 500 juta ringgit di Kelantan.

Tiga projek lagi telah diumumkan awal Januari lalu membabitkan pelaburan bernilai RM363 juta. Jumlah pelaburan yang besar itu membuktikan daya saing ECER yang tinggi dalam usaha menarik para pelabur dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

ECER bakal melepasi sasaran pelaburan RM10 bilion untuk tahun ini sahaja. Dalam konteks infrastruktur, sehingga kini kerajaan telah melabur sebanyak 2 bilion untuk pembangunan kemudahan itu di ECER bagi menyokong pelaburan sektor swasta.

Promosi pelaburan agresif ECERDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia atau MIDA dan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (MITI)

ECER yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM20.9 bilion sehingga Disember tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 4.7 bilion ringgit pelaburan adalah diterima tahun lalu. ECER kini berjaya mewujudkan 27,000 peluang pekerjaan.

Sejauh ini, lebih 70 peratus daripada jumlah pelaburan di ECER itu membabitkan kluster pelancongan di ECER manakala selebihnya dalam sektor akuakultur, pembuatan dan pendidikan.




Belia Marang konvoi bermotosikal lebih 12 jam

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Konvoi Bermotosikal Terengganu-Melaka yang memakan masa lebih 12 jam memberi pengalaman baru dan memupuk semangat setiakawan di kalangan 100 peserta program itu.

Aktiviti tahunan kali ketiga anjuran anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Marang dan Persatuan Belia Pengadang Baru serta MAYC Negeri Terengganu dijalankan sepanjang empat hari bermula 1 Mac lalu.

Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman, berkata program dapat memberi pendedahan baru kepada golongan belia menerokai negeri yang dijelajahi seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Dalam konvoi itu, peserta bukan sahaja dapat memupuk gaya hidup sihat dan mencari pengalaman, malah dapat melihat keunikan negeri yang dijelajahi.

“Kita juga dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta serta bertemu pemimpin MAYC di negeri yang dikunjungi sebelum tiba ke destinasi utama, Melaka Bandaraya Bersejarah,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MAYC Marang berkata, walaupun peserta program terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh dan berisiko, mereka akhirnya mencapai matlamat penganjuran dan selamat tiba ke destinasi sebagaimana dijadualkan.

Katanya, kesemua peserta yang menunggang motosikal di bawah 135 cc turut berjaya membentuk disiplin dan meningkatkan ciri keselamatan ketika di jalan raya.

Program pelepasan yang bermula dari Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, dilancarkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin.