Halaman

09 March 2012

LMNT aktif anjur program

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) antara agensi kerajaan yang aktif menganjurkan aktiviti bertujuan memupuk semangat pelancong cintakan seni dan warisan Terengganu.

Pelbagai aktiviti tahunan anjuran agensi kerajaan dan swasta berupaya menarik minat jutaan pelancong luar dan tempatan berkunjung ke negeri ini.

Terbaru, Pertandingan Mewarna Warisan anjuran LMNT pada 31 Mac nanti antara alternatif untuk tujuan sama selain dapat mencungkil bakat masyarakat terutama peminat seni lukis.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata pertandingan itu menjadi strategi untuk menggalakkan pelancong domestik datang ke Terengganu seterusnya melawat muzium negeri.

“Pertandingan dianjurkan ini, termasuk dalam 10 aktiviti tetap tahunan yang dianjurkan agensi kerajaan itu.

“Kira-kira 150 peserta dari pelbagai negeri bakal menyertainya. Berdasarkan sambutan menggalakkan dan meningkat setiap tahun itu, muzium negeri bersetuju meneruskan pertandingan sama pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, melalui pertandingan yang dianjurkan itu pihak muzium secara tidak langsung dapat membantu menggiatkan karyawan seni yang selama ini ketandusan aktiviti selain dapat menambah koleksi lukisan.