Halaman

06 March 2012

MB dijangka rasmi Karnival Belia Generasi Gemilang malam ini

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan Karnival Belia Generasi Gemilang (KBGG) 2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, malam ini.

Program pembuka tirai KBGG itu dijangka turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat itu dianjurkan Kelab Remaja Negeri Terengganu (KRT) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu menerusi beberapa siri penjelajahan mengikut daerah.

Pengerusi KRT merangkap Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perhubungan Negeri, Encik Saiful Bahri Dato’ Baharuddin, berkata program pertama bermula sejak 3 Mac lalu, diikuti 7 hingga 9 Mac di Padang Astaka Kemaman, manakala 10 hingga 13 Mac di depan Padang Astaka Kuala Berang.

“Lokasi terakhir adalah di Stadium Mini Besut, pada 8 hingga 14 Mac ini. Pelbagai acara sukan seperti 3 on 3, bola jaring, sepak raga dan badminton dipertandingkan sepanjang karnival ini, selain pameran kerjaya dan usahawan yang disertai 50 syarikat gergasi negara ini.

“Manakala bagi peminat sukan lasak acara drift juga turut dipertandingkan. Malah, wang tunai RM50,000 keseluruhan bakal emnjadi rebutan pemenang bagi acara sukan yang dipertandingkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Teganukita, hari ini.

KBGG bertujuan melahirkan belia yang memiliki peribadi bersepadu dari segi akidah, rohaniah dan jasmaniah. Malah, sebagai penggerak kemajuan dan kemakmuran, belia juga akan lebih bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik demi bangsa, agama dan negara.