Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan empat program pendidikan kelolaan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, hari ini.
Tiga program berkenaan meliputi bidang pendidikan iaitu Projek Bestari YDSM serta Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang mempertaruhkan dua Piala YDSM untuk dipertandingkan.
Program keempat adalah penyampaian buku ‘Dirgahayu Tuanku : Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008’ terbitan YDSM sempena 300 tahun pemerintahan Kesultanan Terengganu tajaan syarikat AHT & Carriage Sdn. Bhd.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran program itu, Dato’ Mohd Fadzli Yusof berkata, Projek Bestari YDSM membabitkan pembekalan dan penyediaan kemudahan komputer di 10 buah sekolah agama di Terengganu dengan kos RM300,000.
Katanya, Program Pengukuhan Bahasa Inggeris membabitkan pertandingan murid-murid semua sekolah rendah dan menengah di negeri ini bagi menguji kecekapan dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa berkenaan.
“Program Pengukuhan Bahasa Arab, sejumlah RM200,000 diperuntukkan dengan melibatkan kaedah pertandingan yang hampir sama di semua 21 buah sekolah menengah agama di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu.
Sementara itu kata Dato’ Mohd Fadzli, dua buah buku ‘Dirgahayu Tuanku : Sejarah Kesultanan Terengganu 1708-2008’ akan diagihkan kepada semua 165 sekolah di negeri ini bagi memperteguhkan rasa cinta rakyat jelata kepada Institusi Kesultanan Terengganu.
Baginda turut menyaksikan penyerahan buku tajaan AHT & Carriage Sdn. Bhd. oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Abdullah Taib kepada Hashim yang mewakili Jabatan Pelajaran negeri.
Sejurus selepas itu, Sultan Mizan yang diringi Menteri Besar berkenan melawat Projek Bestari di sekolah tersebut.
