Terengganu akan menjadi tuan rumah Kejohanan Drive Ride (DR) 4X4 Ranggok Antarabangsa 2012 yang berlangsung tiga hari di Litar Sukan Lasak, Kampung Gong Cempedak, Marang mulai Jumaat ini (9 hingga 11 Mac).
Kejohanan julung kali itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM31,000 yang turut disertai beberapa peserta dari negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia dan Australia.
Penasihat Eksekutif Kejohanan, Datuk Razali Idris berkata, pertandingan ini terbahagi kepada empat disiplin iaitu kenderaan pacuan 4X4, motorcross, cubcross dan mountain bike.
Katanya, kejohanan ini bakal menarik perhatian golongan remaja yang berminat pada sukan lasak sekali gus dapat mengelak dari terjerumus kepada aktiviti tidak berfaedah seperti merempit.
Menurutnya, nama ‘Ranggok’ dipilih berdasarkan longhat negeri ini yang membawa makna rempuh sebagai tarikan untuk kejohanan antarabangsa yang pertama kali diadakan.
“Kejohanan ini adalah unik dan berbeza kerana ia mengabungkan peserta berusia antara belasan tahun hingga 64 tahun dengan setiap kumpulan saling berganding bahu dari satu acara ke satu acara lain dalam misi memburu juara,” katanya.
Tambahnya, kejohanan ini akan dijadikan acara tahunan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dan orang ramai.