Kehadiran zuriat pertama tanggal 8 Januari 1995 yang dikesan mengalami autisme tidak langsung menggugat kesetiaan, malah mengeratkan lagi keampuhan cinta pasangan serasi, Zainuddin Muhammad dan Rozina Mohd Ikram, 47.
Pasangan yang bertemu `cinta pandang pertama ‘ tatkala sama-sama menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan di Universiti Nevada, Reno, kira-kira 25 tahun lalu disatukan pada 30 Januari 1994 .
Mereka yang kini tinggal di Taman Setia, Durian Burung, Kuala Terengganu dikurniakan tiga cahaya mata termasuk `putera istimewa’ , Muhammad Danial, 17, selain Nurul Diana, 16 dan Muhammad Diny, 13.
Muhammad Danial mula dikesan mengalami kekurangan itu ketika usianya menginjak dua tahun apabila bersikap hiperaktif, selain sukar berkomunikasi serta menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Berkat kesabaran, toleransi dan nilai kasih sayang yang dibajai kedua-dua orang tuanya sejak `merah’ lagi berjaya mengikis kekurangan yang ada pada anak sulung yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah suatu masa nanti itu.
"Ada sesuatu yang diluar jangkauan saya, apabila ketika usianya lapan tahun, Danial sudah mampu membaca akhbar, walhal sebelum itu kami tidak pernah mengajar mahupun menghantarnya ke sekolah. Dia juga gemar membaca buku yang dibekalkan terutama buku pelajaran ketika usia 10 tahun.
“Dia juga menunjukkan potensi dan minat yang mendalam ketika berusia 10 tahun dan dimasukkan ke kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran serta ditempatkan dalam Tahun Tiga, " katanya.
Bermula daripada kejayaan memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Muhammad Danial terus melakar kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan 22 Disember lalu, apabila memecah tradisi muncul calon autisme pertama negara ini yang memperolehi 9A.
Muhammad Danial ternyata berjaya meneruskan kesinambungan kecemerlangan itu apabila mengekalkan 9A dalam peperiksaan sebenar selepas memperolehi keputusan yang sama dalam peperiksaan percuban sebelum itu.
Dia yang gemar bermain badminton dan catur ketika mengisi masa lapang menyahut cabaran dan mahu membuktikan keupayaan biarpun bersaing dengan rakan yang normal, dengan mengambil subjek Bahasa Arab biarpun kebanyakan calon PMR lain hanya mengambil lapan kertas peperiksaan.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik berjaya membuka mata pelbagai pihak untuk menjadikannya sebagai ikon pendidikan masa kini.
Terbaru, mendapat Anugerah Khas Presiden sempena Anugerah Kelab Wartawan Terengganu-ExxonMobil 2011 dan Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu kerana kejayaan dalam UPSR.
Kejayaan mendapat 9A turut diraih pesaing terdekat yang juga adiknya, Nurul Diana yang sentiasa berlumba-lumba dengannya untuk mendapat markah yang terbaik dalam setiap ujian dan peperiksaan dalam kelas, selain mereka sentiasa meluangkan masa mengulangkaji pelajaran bersama ketika di rumah.
“Kedua-dua anak saya, Danial dan Diana saling bersaing antara satu sama lain dalam pelajaran. Bagaimanapun, Danial memiliki kelebihan di mana dia lebih kuat daya ingatan menyebabkan adiknya harus bekerja keras bagi menyaingi prestasi abangnya itu,” kata Rozina yang sentiasa disokong suami yang juga wartawan akhbar The New Strais Times Press Terengganu.
Dari sisi lainnya, membesarkan Muhammad Danial, menurut Rozina lagi, tidak sama dengan remaja lain kerana dia sukar dikawal dan sangat aktif menyebabkan perhatian lebih perlu diberikan kepadanya berbanding dua adiknya itu.
“Saya dan suami banyak bertoleransi serta mengorbankan masa dan waktu kami bagi menjaga Danial yang sentiasa aktif melompat dan berlari ke mana sahaja terutama di dalam rumah sendiri.
“Pun begitu, saya amat bersyukur, walaupun hiperaktif sejak kanak-kanak, Danial kini semakin matang, mudah dikawal dan sudah bijak mengurus serta menyesuaikan diri apabila berada di khalayak ramai,” katanya.
Rozina yang kini menjadi surirumah sepenuh masa, sanggup melepaskan jawatan sebagai pengurus dengan gaji lumayan di sebuah syarikat korporat sebaik melahirkan Muhammad
Danial demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap permata hatinya itu.
“Saya rasa amat berbaloi melepaskan jawatan demi memastikan anak-anak terutama Danial mendapat tumpuan dan penjagaan yang baik. Malah, kejayaan anak-anak pada hari sini sesuatu yang sunggug bernilai, membanggakan kami sekeluarga dan ianya tidak mampu dibeli dengan wang ringgit,” katanya lagi.