Halaman

09 March 2012

Belia Marang konvoi bermotosikal lebih 12 jam

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Konvoi Bermotosikal Terengganu-Melaka yang memakan masa lebih 12 jam memberi pengalaman baru dan memupuk semangat setiakawan di kalangan 100 peserta program itu.

Aktiviti tahunan kali ketiga anjuran anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Marang dan Persatuan Belia Pengadang Baru serta MAYC Negeri Terengganu dijalankan sepanjang empat hari bermula 1 Mac lalu.

Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman, berkata program dapat memberi pendedahan baru kepada golongan belia menerokai negeri yang dijelajahi seperti Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Dalam konvoi itu, peserta bukan sahaja dapat memupuk gaya hidup sihat dan mencari pengalaman, malah dapat melihat keunikan negeri yang dijelajahi.

“Kita juga dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta serta bertemu pemimpin MAYC di negeri yang dikunjungi sebelum tiba ke destinasi utama, Melaka Bandaraya Bersejarah,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi MAYC Marang berkata, walaupun peserta program terpaksa menempuhi perjalanan yang jauh dan berisiko, mereka akhirnya mencapai matlamat penganjuran dan selamat tiba ke destinasi sebagaimana dijadualkan.

Katanya, kesemua peserta yang menunggang motosikal di bawah 135 cc turut berjaya membentuk disiplin dan meningkatkan ciri keselamatan ketika di jalan raya.

Program pelepasan yang bermula dari Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, dilancarkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin.