Pelajar yang gagal menyambung pelajaran di peringkat diploma dan ijazah mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) boleh memilih untuk mengikuti kursus Kemahiran Lepasan Siswazah (KLS) yang ditawarkan Kolej Universiti Tati (TATiUC).
Program yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan elaun sara hidup berjumlah RM650 sepanjang tempoh pengajian antara lima hingga 12 bulan.
Rektor TATiUC, Dr Rozailan Mamat, berkata pihaknya menawarkan pelbagai program menerusi KLS termasuk Pemesinan CNC, Kemahiran Robotik, NDT, Program Waste and Waste Technoloy, Kemahiran Computer Networking dan Product Design Technology.
“Pihak TATiUC berharap peluang dan ruang yang disediakan ini mampu dimanfaatkan oleh pelajar serta masyarakat dalam usaha melengkapkan diri dengan kemahiran dalam pelbagai sektor dan industri sebagai jaminan kerjaya masa depan.
“Pelatih yang dilahirkan menerusi program berkenaan menjadi medium utama mempromosikan TATiUC kepada masyarakat sekal gus memenuhi hasrat kerajaan melatih belia lepasan sekolah dalam bidang kemahiran,” katanya di Majlis Makan Tengahari Bersama Kaunselor Daerah Setiu, di Sutra Beach Resort, Setiu, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Selain itu, beliau berkata pengajian berasaskan kemahiran masih menjadi teras di TATiUC, terutama pengajian peringkat diploma di mana kaedah pengajian 70 peratus praktikal dan 30 peratus teori tetap dikekalkan.
Beliau berkata, terbukti sistem ini berjaya dan dialu-alukan oleh pihak industry, selain pelajar lepasan diploma, ijazah serta KLS TATiUC tidak berdepan dengan masalah besar bagi mendapat pekerjaan setaraf dengan kelulusan yang ada.
“Malah, kita juga bersedia membuat penambahbaikan supaya graduan kita kita diterima dengan mudah oleh industri ,” katanya.