Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bercadang untuk mengundang ratu squash negara, Datuk Nicol Ann David ke universiti itu dalam usaha merangsang dan mempromosi sukan tersebut di kalangan mahasiswa tidak lama lagi.
Naib Canselor UMT, Prof, Dato'Dr, Aziz Deraman berkata, Datuk Nicol dijangka akan mengadakan program sehari bersama mahasiwa di gelanggang squash UMT hujung bulan ini.
“Program yang dirancangkan itu dijangka dapat menarik minat penuntut terhadap sukan berkenaan selain dapat mencungkil bakat sukan squash di kalangan mahasiswa,” katanya di majlis Anugerah Sukan UMT 2011 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu.
Hadir sama Ketua Polis negeri, Dato’ Jamshah Mustapa.
Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memberi mandat kepada UMT bagi menerajui sukan squash di peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara berdasarkan kemampuan universiti yang mempunyai gelanggang squash bertaraf antarabangsa di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail.
Tambahnya, melalui program promosi sukan tersebut, UMT akan turut dibantu dengan bekas pemain squash kebangsaan Sharon Wee yang telah pun berkunjung ke UMT baru-baru ini.
“Saya yakin dengan kehadiran pemain squash tersebut akan menjadi pembakar semangat yang lebih tinggi untuk terlibat secara serius dalam sukan berkenaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu beliau juga berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama untuk menjadikan sukan squash sebagai sukan yang diminati dengan membentuk sebuah pasukan.
Di majlis itu seramai 150 staf menerima anugerah masing-masing, yang mengharumkan nama UMT melalui pelbagai kejohanan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.