Halaman

08 March 2012

Daftar segera sebagai pengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 46,042 orang atau 7.1 peratus daripada sejumlah 649,683 penduduk negeri ini yang layak, belum mendaftar sebagai pemilih.

Dengan erti kata lain, mereka yang belum mendaftar sebagai pemilih tidak boleh mengundi jika pilihan raya diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

Alangkah ruginya mereka ini kerana tidak berpeluang untuk membuat pilihan bagi membentuk Kerajaan Pusat dan negeri apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan kelak.

Bayangkan dengan segala kemudahan disediakan pihak berwajib, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), masih ramai penduduk tidak menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

Mereka boleh mendaftar sebagai pengundi sepanjang musim di pejabat SPR atau pejabat pos di seluruh negeri.

Pihak SPR juga mengadakan pendaftaran secara terbuka di mana-mana saja jika ada program besar.

SPR juga menyediakan kaunter pendaftaran di universiti, pasar raya dan kawasan tumpuan awam, bagi memudahkan orang ramai mendaftar sebagai pemilih.

Di Mydin Mall Padang Hiliran juga disediakan kaunter untuk orang ramai mendaftar sebagai pemilih. Bukannya susah untuk mendaftar sebagai pengundi. Mereka yang genap usia 21 tahun hanya perlu membawa kad pengenalan dan mendaftar sebagai pemilih di tempat-tempat yang disediakan SPR.

Kepada mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi, ayuh tunaikan segera tanggungjawab anda kerana di tangan ada ada ‘kuasa’ untuk menentukan kerajaan.