Halaman

04 March 2012

LTdL 2012 : Guardini lakar sejarah baru, 10 kali juara peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini melakar sejarah baru Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila muncul juara peringkat buat kali ke-10 selepas mendominasi peringkat kesembilan dari Kemasik ke Kuala Terengganu, semalam.

Guardini mengatasi rekod pelumba Australia, Graeme Brown yang menjadi juara sembilan kali.

Menurut Guardini, kejayaan ke-10 di LTdL itu adalah yang teristimewa buatnya selepas gagal mencatat keputusan yang baik pada awal musim.


"Saya sasar untuk muncul juara dalam peringkat akhir sejauh 114.8 kilometer dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu di samping mahu mengekalkan jersi raja pecut.

"Saya perlu berjuang hingga ke penamat untuk mendapatkan kembali jersi biru daripada pelumba Astana, Valentin Iglinskiy yang menyarung jersi itu pada dua peringkat sebelum ini.

"Perlumbaan hari ini sukar berbanding peringkat lalu dengan sepanjang laluan hujan, selepas beberapa peringkat saya sudah terasa penat. Saya tujukan kemenangan ini kepada pemilik pasukan, Valentino Sciotti yang turut datang menyaksikan kemenangan saya," katanya.

Sementara itu, pelumba Androni Giocattoli, Jose Serpa masih menyarung jersi kuning apabila merakamkan 30 jam 18 minit 43 saat dan dijangka dinobatkan sebagai pelumba terbaik keseluruhan apabila perlumbaan peringkat akhir hari ini dijangka tamat dalam kelompok besar.