Halaman

08 March 2012

Wanita rakan kongsi tranformasi negara

Oleh; Esah Abdullah

Pengiktirafan terhadap wanita sebagai rakan kongsi transformasi besar negara telah membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan itu untuk membuktikan kebolehan serta kemampuan membantu mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Wanita adalah teman, sahabat, kekasih dan ibu yang paling rapat dalam sesebuah keluarga juga mampu melangkah jauh ke hadapan dalam kerjaya yang diceburi,” kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Katanya, kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan negara terhadap sumbangan wanita merupakan satu perangsang untuk meningkatkan produktiviti dalam pasaran tenaga kerja pada masa akan datang.

Katanya, sikap lembut tapi tegas dan kadang-kadang agresif tetapi begitu setia terhadap keluarga dan parti ,menjadikan wanita diberi kepercayaan menjalankan tugas ‘merisik’ dan ‘perayu’ ketika berdepan dengan pelbagai situasi.

Justeru itu, sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini, beliau menaruh harapan besar kaum wanita dapat menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak, cemerlang dalam kerjaya dan isteri yang setia.

“Paling penting pertahan maruah bangsa, agama dan negara serta pastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah demi kecemerlangan dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.